Status ADUN Permatang Jadi Tanda Tanya Selepas Noh Omar Tinggalkan Bersatu

ISKANDAR PUTERI: Tindakan drastik bekas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Tan Sri Noh Omar keluar parti dan kembali ke pangkuan UMNO semalam mencetuskan spekulasi hangat mengenai masa depan politik anaknya, Nurul Syazwani.

​Nurul Syazwani, yang kini merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang bagi kuota Bersatu, kini dilihat berada dalam radar pemerhati politik sama ada beliau akan mengikut jejak langkah bapanya atau kekal bersama parti pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin itu.

​Desas-desus mengenai status beliau mula bertiup kencang selepas Noh membuat kejutan hadir ke Majlis Pelancaran Jentera Barisan Nasional (BN) Negeri Johor di Stadium Tertutup Kompleks EduCity di sini semalam, sekali gus mengumumkan kepulangannya ke pangkuan UMNO.

​​Noh ketika ditemui pihak media bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai keputusan yang bakal diambil oleh anaknya itu dan memilih untuk mengambil sikap tunggu dan lihat.

​Menurut Noh, kedudukan anaknya itu berbeza dengan situasi dirinya kerana Nurul Syazwani terikat dengan mandat yang diberikan oleh rakyat sebagai wakil rakyat di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.

​”Mengenai dia (Nurul Syazwani), kita tunggu dan lihat dahulu sebab dia masih seorang ADUN Bersatu,” katanya ringkas kepada pemberita.

Untuk rekod, Nurul Syazwani memenangi kerusi DUN Permatang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor ke-15 yang lalu selepas menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Mohd Yahya Mat Sahri dengan majoriti 1,728 undi.

​Kehadiran Noh Omar di kem BN Johor semalam, yang secara terbuka memuji prinsip UMNO Johor menolak DAP, dilihat bakal memberi tekanan hebat kepada dinamika politik Bersatu khususnya di Selangor, memandangkan pengaruh kuat bapa dan anak itu di kawasan Parlimen Tanjong Karang sebelum ini.

BBerkaitan

Latest articles