PRN N. Sembilan: UMNO Tampil Gabungan Muka Lama Dan Baru

SEREMBAN: UMNO Negeri Sembilan telah memuktamadkan senarai calon yang bakal diketengahkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-16 susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam.

Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, senarai berkenaan akan dikemukakan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, untuk penelitian dan kelulusan sebelum dimuktamadkan.

Menurut beliau, barisan calon yang disenarai pendek merangkumi gabungan pemimpin berpengalaman dan muka baharu, termasuk golongan muda serta wanita yang mempunyai pelbagai latar belakang pendidikan dan profesional.

Jalaluddin berkata, Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan berhasrat bertanding di kesemua 36 kerusi DUN, namun pembahagian kerusi antara parti komponen seperti MCA dan MIC akan diputuskan menerusi mesyuarat yang dijadualkan dalam masa terdekat.

“Segala perkara berkaitan PRN termasuk agihan kerusi dan calon yang bakal diketengahkan akan dibincangkan serta dimuktamadkan dalam mesyuarat tersebut,” katanya ketika menghadiri majlis perkahwinan serentak lapan pasangan di Masjid Dato Undang Luak Jelebu, hari ini.

Beliau turut memaklumkan bahawa UMNO negeri sudah berada dalam keadaan siap siaga dengan jentera pilihan raya di semua peringkat telah mula digerakkan bagi menghadapi saingan PRN16.

Pada PRN lalu yang berlangsung pada Ogos 2023, gabungan UMNO-BN memenangi 14 kerusi DUN, manakala Pakatan Harapan (PH) memperoleh 17 kerusi dan Perikatan Nasional (PN) lima kerusi.

BBerkaitan

Latest articles