NARATHIWAT: Musim cuti umum yang panjang kali ini menyaksikan peningkatan ketara kehadiran pasangan dari Malaysia ke selatan Thailand bagi melangsungkan perkahwinan, apabila jumlah permohonan yang diterima pihak berkuasa agama tempatan meningkat lebih dua kali ganda berbanding kebiasaan.
Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Narathiwat, Abdul Aziz Che Mamat berkata, pihaknya kini mengendalikan purata lima pasangan Malaysia setiap hari bagi urusan akad nikah dan pendaftaran perkahwinan, berbanding sekitar dua pasangan sehari pada waktu biasa.
Menurut beliau, peningkatan mendadak itu menyebabkan kakitangan majlis perlu bekerja lebih giat bagi memastikan setiap urusan dapat diselesaikan dengan lancar mengikut jadual yang ditetapkan.
“Biasanya kami menerima sekitar dua pasangan Malaysia sehari, namun sepanjang cuti panjang kali ini jumlah itu meningkat kepada kira-kira lima pasangan sehari.
“Pertambahan ini jelas ketara dan kakitangan kami sibuk menguruskan pendaftaran serta majlis akad nikah,” katanya.
Narathiwat yang terletak berhampiran sempadan Malaysia-Thailand terus menjadi antara destinasi pilihan pasangan Muslim Malaysia untuk melangsungkan perkahwinan, didorong faktor lokasi yang mudah diakses serta prosedur pentadbiran yang tersedia.
Abdul Aziz berkata, kebanyakan pasangan mengambil peluang cuti panjang untuk menyempurnakan urusan perkahwinan tanpa perlu memohon cuti tambahan daripada majikan masing-masing.
Beliau memaklumkan pasangan yang hadir bukan sahaja dari negeri-negeri utara Semenanjung, malah turut melibatkan pasangan dari Selangor dan beberapa negeri lain.
“Kebanyakan mereka memilih tempoh ini kerana mempunyai lebih banyak masa lapang selain kemudahan untuk menguruskan segala proses berkaitan perkahwinan,” katanya.
Menurutnya, trend peningkatan itu dijangka berterusan sehingga berakhirnya musim cuti berikutan terdapat beberapa pasangan yang telah membuat tempahan awal bagi urusan pendaftaran dan akad nikah.
Beliau turut menegaskan bahawa semua permohonan perkahwinan diproses mengikut prosedur serta peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa agama berkaitan.
Sehubungan itu, Majlis Agama Islam Narathiwat telah melakukan persediaan sewajarnya bagi menampung pertambahan pemohon dan memastikan setiap majlis akad nikah dapat dilaksanakan dengan teratur serta lancar.










