SEREMBAN: Dakwaan mempertikai keabsahan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan kini mencetuskan polemik baharu apabila Sekretariat Taat Setia Sokongan DYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap Penggerak RESET Negeri Sembilan yang didakwa mengeluarkan kenyataan berunsur penderhakaan terhadap institusi diraja.
Pengerusinya, Datuk Seri Megat D. Shahriman Zaharudin berkata, pihaknya memandang serius beberapa kenyataan yang dimuat naik oleh individu terbabit kerana didakwa mencabar kedudukan dan kedaulatan DYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir.
Menurut beliau, pada 26 Mei lalu, Penggerak RESET Negeri Sembilan didakwa menyiarkan kenyataan di media sosial yang mengumumkan Tuanku Nazaruddin ibni Almarhum Tuanku Jaafar sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, sekali gus menimbulkan kekeliruan mengenai kedudukan pemerintah negeri yang sah.
Katanya, tindakan itu diikuti dengan satu lagi kenyataan pada 31 Mei yang mempertikaikan keabsahan Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
“Ini bukan sekadar kesilapan atau salah faham. Ia merupakan tindakan berulang yang dilihat terancang dan mempunyai niat untuk mencabar institusi Raja-Raja Melayu serta mencetuskan keresahan dalam kalangan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Megat turut menegaskan bahawa kenyataan berkenaan dibuat atas kapasiti Penggerak RESET Negeri Sembilan, justeru organisasi tersebut tidak boleh melepaskan tanggungjawab terhadap tindakan individu terbabit.
Sehubungan itu, beliau menggesa Pengerusi RESET, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, tampil menjelaskan pendirian rasmi pertubuhan berkenaan dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap pihak yang mengeluarkan kenyataan tersebut.
Dalam masa sama, beliau mempersoalkan tindakan pihak berkuasa yang didakwa masih belum mengambil langkah terhadap isu berkenaan walaupun ia melibatkan institusi diraja dan menyentuh sensitiviti 3R iaitu agama, kaum dan raja.
Menurutnya, undang-undang sedia ada termasuk Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 serta Seksyen 121D Kanun Keseksaan memperuntukkan perlindungan terhadap kedaulatan institusi raja dan tidak wajar dipandang ringan.
“Tiada sesiapa yang kebal daripada tindakan undang-undang. Institusi beraja merupakan tonggak negara yang mesti dipertahankan dan dihormati,” katanya.
Dalam kenyataan sama, Sekretariat Taat Setia Sokongan DYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan mengemukakan tiga tuntutan utama iaitu supaya RESET Negeri Sembilan menarik balik kedua-dua kenyataan yang dikeluarkan pada 26 dan 31 Mei serta memohon ampun secara terbuka kepada Tuanku Muhriz dan Majlis Raja-Raja.
Selain itu, mereka turut mendesak Hamzah menyatakan pendirian rasmi RESET berhubung isu tersebut dan mengambil tindakan disiplin yang tegas terhadap individu terlibat.
Sekretariat itu juga menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) segera menjalankan siasatan bagi memastikan keyakinan rakyat terhadap kedaulatan undang-undang terus terpelihara.
“Institusi beraja adalah tunjang negara. Sebarang tindakan yang dilihat mencabar atau merendahkan kedaulatannya tidak boleh dibiarkan berulang,” tegas kenyataan itu.










