Marina Undur Diri: Benarkah Wujud Isu Pertukaran Kerusi?

KUALA LUMPUR: Keputusan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai, Marina Ibrahim untuk tidak mempertahankan kerusinya dan berundur daripada arena politik mencetuskan pelbagai persoalan apabila satu surat yang didakwa berkaitan keputusan tersebut mula tular di media sosial.

Surat bertarikh 30 Mei yang tersebar hari ini didakwa mengandungi kenyataan bahawa Marina menolak tawaran untuk bertanding di kerusi Tiram serta dakwaan mengenai tawaran jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Bagaimanapun, kesahihan surat berkenaan belum dapat dipastikan dan setakat ini tiada pengesahan rasmi dikeluarkan oleh Marina mahupun kepimpinan DAP berhubung dokumen tersebut.

Surat yang sama turut mendapat perhatian apabila disiarkan oleh media berbahasa Mandarin, 8TV News, yang melaporkan mengenai penularan dokumen berkenaan.

Terdahulu, Marina menerusi kenyataan rasmi yang dimuat naik di media sosialnya mengumumkan keputusan untuk tidak bertanding dalam mana-mana pilihan raya dan mengundurkan diri daripada politik selepas melalui perbincangan bersama individu yang sentiasa berada di sisinya sepanjang perjalanan politiknya.

Menurut beliau, keputusan itu dibuat dengan penuh pertimbangan dan beliau memilih untuk kembali ke lapangan masyarakat serta meneruskan kerja-kerja kemasyarakatan yang telah menjadi sebahagian daripada kehidupannya sebelum menceburi dunia politik.

Dalam kenyataan sama, Marina turut merakamkan penghargaan kepada pengundi dan penyokong yang memberikan kepercayaan kepadanya sejak memenangi kerusi Skudai pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2022. Beliau juga menegaskan pengundurannya daripada politik tidak bermakna khidmat kepada masyarakat akan terhenti.

Namun, kemunculan surat yang didakwa ditulis oleh Marina menimbulkan spekulasi baharu mengenai kemungkinan wujud faktor lain di sebalik keputusan tersebut, termasuk dakwaan berkaitan penempatan calon menjelang PRN Johor yang dijangka berlangsung dalam tempoh terdekat.

Setakat ini, tiada mana-mana pihak dalam DAP mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung kandungan surat yang tular itu.

Untuk rekod, Marina yang mewakili DAP memenangi kerusi Skudai pada PRN Johor 2022 dan menjadi antara wakil rakyat wanita muda yang menonjol dalam politik negeri Johor.

Persoalan kini, adakah keputusan Marina semata-mata atas faktor peribadi seperti yang dinyatakan dalam kenyataan rasminya, atau terdapat perkembangan lain yang masih belum dijelaskan kepada umum?

Sehingga laporan ini ditulis, jawapan kepada persoalan tersebut masih belum diperoleh.

BBerkaitan

Latest articles