Dong Zong Persoal Dasar UEC, Mahu Kerajaan Perjelas Skop Kemasukan Ke IPTA

KUALA LUMPUR: Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) meminta kerajaan tampil memberikan penerangan lebih jelas mengenai dasar kemasukan pemegang Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA), susulan kenyataan bercanggah melibatkan pimpinan kerajaan dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Presidennya, Tan Yew Sing berkata, kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika Sambutan Hari Guru Kebangsaan pada 16 Mei lalu memberi bayangan bahawa pemegang UEC berpeluang memohon pelbagai program pengajian bersesuaian, termasuk bidang profesional seperti perakaunan.

Bagaimanapun, beliau berkata pengumuman terbaru KPT hanya membenarkan pemegang UEC yang memperoleh kepujian Bahasa Melayu serta lulus Sejarah di peringkat SPM memohon empat program berkaitan bahasa dan pengajian Cina di tiga universiti awam.

Menurut Tan, keadaan itu menimbulkan kekeliruan kerana masyarakat sebelum ini menjangkakan peluang lebih luas akan diberikan kepada lepasan UEC untuk menyambung pengajian di IPTA.

Katanya, kerajaan perlu memperincikan pelaksanaan dasar tersebut termasuk jenis kursus yang dibuka, sistem penilaian merit dan kaedah permohonan supaya tidak timbul salah faham dalam kalangan masyarakat.

Beliau turut menegaskan bahawa isu pengiktirafan UEC tidak sepatutnya dipolitikkan kerana ia berkait rapat dengan hak pendidikan pelbagai aliran serta peluang sama rata dalam bidang pekerjaan, biasiswa dan kemasukan ke sektor awam.

Dalam pada itu, Dong Zong mengakui keputusan kerajaan kali ini tetap membawa perkembangan positif kerana buat pertama kali membuka laluan kepada pemegang UEC memasuki IPTA, walaupun skopnya masih terhad.

Tambah beliau, usaha memperjuangkan akses lebih luas kepada pemegang UEC akan diteruskan demi mewujudkan sistem pendidikan tinggi yang lebih inklusif dan adil kepada semua pelajar tanpa mengira latar belakang pendidikan.

Tan turut menggesa kerajaan menilai satu mekanisme lebih seimbang bagi membolehkan pelajar daripada sekolah persendirian Cina, sekolah agama dan sekolah antarabangsa melanjutkan pengajian berdasarkan kemampuan serta potensi masing-masing.

Pada masa sama, beliau menyeru lepasan Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) yang berminat mengikuti program berkaitan bahasa dan pengajian Cina supaya memanfaatkan peluang yang diberikan dan segera mengemukakan permohonan.

BBerkaitan

Latest articles