MARDI Sasar Kundasang Jadi Hab Strategik Bawang Merah Negara Menjelang 2030

KUNDASANG: Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) terus memperkukuh agenda keterjaminan makanan negara menerusi pembangunan Projek Pengeluaran Benih Bawang Merah di Kundasang yang disasarkan menjadi antara hab strategik pengeluaran bawang merah negara menjelang 2030.

Komitmen itu diterjemahkan melalui lawatan kerja Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Sabah, Datuk Chan Foong Hin ke projek berkenaan bagi meninjau perkembangan pelaksanaan pengeluaran benih bawang merah yang diusahakan bersama usahawan tani bimbingan MARDI di Kampung Mesilou.

Lawatan tersebut menjadi sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan memperkukuh industri bawang merah tempatan menerusi penghasilan benih berkualiti tinggi, peningkatan produktiviti serta mengurangkan kebergantungan negara terhadap import bawang.

Dalam sesi taklimat projek, Chan turut dimaklumkan mengenai penggunaan varieti bawang merah keluaran MARDI iaitu BAW-1, BAW-2 dan BAW-3 yang dibangunkan khusus bagi menyokong pengeluaran bawang tempatan secara lebih mampan dan kompetitif.

Turut menjadi tumpuan ialah kemudahan Rumah Pengeringan dan Penyimpanan Benih Bawang Merah bernilai RM523,000 yang dibangunkan sebagai pusat pengendalian, pengeringan dan penyimpanan benih sebelum diedarkan ke Semenanjung Malaysia serta Sabah dan Sarawak.

Kemudahan itu dilihat memainkan peranan penting dalam memastikan pengeluaran benih dapat dilakukan secara konsisten selain memenuhi standard kualiti ditetapkan.

Inisiatif berkenaan juga selari dengan sasaran kerajaan untuk mengurangkan import bawang sehingga 30 peratus menjelang tahun 2030, di samping memastikan industri bawang negara terus kekal mampan dan berdaya saing.

Projek tersebut dilaksanakan bersama usahawan bimbingan MARDI, Shahrizal Denci yang mula menyertai program itu pada 2024.

Sepanjang dua musim penanaman terdahulu, beliau berjaya menghasilkan 20 metrik tan bawang merah di kawasan seluas lima ekar.

Seiring perkembangan projek, kawasan tanaman kini diperluaskan secara berperingkat sehingga mencapai 40 ekar menjelang 2030 dengan sasaran pengeluaran keseluruhan mencecah 200 metrik tan.

Pembangunan berskala besar itu dijangka mampu meningkatkan bekalan bawang merah tempatan selain membantu mengurangkan kebergantungan negara terhadap import.

MARDI turut menyifatkan projek berkenaan sebagai model kerjasama strategik antara kerajaan, institusi penyelidikan dan komuniti tani dalam membangunkan ekosistem industri bawang merah yang lebih moden, berdaya tahan dan bernilai tinggi.

BBerkaitan

Latest articles