KUALA LUMPUR: Gelombang kecaman dan kritikan dilihat membanjiri ruangan komen akaun Threads milik Datuk Seri Rafizi Ramli selepas beliau memuat naik beberapa hantaran berhubung kekecewaan terhadap budaya dalaman parti politik, tiga hari lalu.
Tinjauan pada hantaran tersebut mendapati majoriti netizen tidak bersetuju dengan tindakan Rafizi yang dilihat terus membangkitkan isu dalaman Parti Keadilan Rakyat (PKR) selepas tewas dalam pemilihan parti itu sejak akhir-akhir ini.
Malah, sentimen “move on” dilihat paling banyak diulang pengguna Threads yang meminta bekas Timbalan Presiden PKR itu menerima keputusan dan meneruskan hala tuju politik baharu tanpa terus menyerang parti lamanya.
View on Threads
Antara komen yang mendapat perhatian ialah daripada pengguna “lnmkaie” yang menulis:
“Sudah-sudah lah Rafizi… dah buat parti baru pun. MOVE ON JE LA!!”
View on Threads
Seorang lagi pengguna, “johnwevest”, turut menyindir Rafizi dengan komen: “Kalau dah tau PKR rosak, keluar je… ni dah kalah terus merajuk.”
Selain itu, ramai netizen turut menegaskan sokongan mereka terhadap kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim tetap tidak berubah walaupun menghormati jasa dan sumbangan Rafizi dalam PKR sebelum ini.
Pengguna “lastsmilelost7” menulis: “Thank you for everything you’ve done sir… tapi maaf, saya akan tetap #KekalPH.”
Nada sama turut dikongsi beberapa pengguna lain yang menyifatkan isu dalaman parti tidak seharusnya menjejaskan kestabilan kerajaan ketika ini.
View on Threads
Dalam hantaran dimuat naik Rafizi, beliau antara lain mendakwa prinsip dan “sense of fairness” dalam parti sudah dilanggar, selain membangkitkan isu sistem pemilihan parti, dakwaan penipuan serta salah guna kuasa.
Beliau juga menegaskan keputusan diambil bukan disebabkan jawatan atau kedudukan, sebaliknya atas prinsip perjuangan politik yang dipegangnya.
Bagaimanapun, reaksi netizen di Threads memperlihatkan sebahagian besar pengguna media sosial melihat tindakan Rafizi terus mengulas isu dalaman parti sebagai tidak lagi relevan selepas beliau mengambil keputusan meninggalkan PKR dan bergerak dengan platform politik baharu.
Untuk rekod, Rafizi mengambil langkah menubuhkan gerakan politik baharu dikenali sebagai Parti Bersama Malaysia selepas tidak lagi bersama PKR.
Perkembangan itu menjadikan kenyataan beliau di media sosial terus mendapat perhatian ramai, khususnya dalam kalangan penyokong Pakatan Harapan (PH) yang sebelum ini melihat Rafizi sebagai antara arkitek penting kemenangan gabungan tersebut pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Namun berdasarkan pemerhatian pada ruangan komen Threads berkenaan, sentimen dominan netizen ketika ini dilihat lebih cenderung meminta Rafizi “move on”, berbanding menyokong dakwaan serta kritikan beliau terhadap parti lamanya.










