Kerajaan Tolak Sebarang Usaha Bantu Jho Low Dapat Pengampunan AS

IPOH: Kerajaan Persekutuan tidak akan melayan mahupun menyokong sebarang cubaan melibatkan permohonan pengampunan oleh ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho, kepada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendirian itu dibuat kerana kes dikaitkan dengan Jho Low membabitkan dakwaan penyelewengan, jenayah kewangan serta kerugian besar terhadap negara.

Menurut beliau, kenyataannya sebelum ini bahawa isu berkenaan “tidak berbangkit” membawa maksud kerajaan tidak pernah mempertimbangkan langsung perkara tersebut, bukannya menafikan kewujudan isu itu.

“Kerajaan tidak melihat perkara ini sebagai sesuatu yang wajar diberi pertimbangan kerana ia berkait dengan pengkhianatan amanah dan kehilangan dana negara bernilai berbilion ringgit,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis penyerahan Surat Setuju Terima (SST) kepada kontraktor kecil Bumiputera di Kompleks Pendidikan Negeri Perak, semalam.

Turut hadir Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Anwar turut menegaskan bahawa kerajaan tidak akan memberi perhatian terhadap sebarang usaha mendapatkan pengampunan untuk Jho Low kerana individu itu dikaitkan dengan skandal kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang mencetuskan kontroversi besar di peringkat antarabangsa.

Katanya lagi, terdapat laporan media yang kurang tepat sehingga menimbulkan salah faham terhadap kenyataan beliau sebelum ini mengenai isu tersebut.

Terdahulu, The Wall Street Journal melaporkan Jho Low dipercayai sedang mengemukakan permohonan pengampunan kepada Trump menerusi satu fail yang dihantar beberapa minggu lalu.

Laporan sama turut menyebut laman sesawang Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) memaparkan satu permohonan atas nama Jho Low di bawah kategori “Pardon after Completion of Sentence”.

Jika diluluskan, pengampunan itu boleh menyebabkan semua pertuduhan jenayah dihadapinya di Amerika Syarikat digugurkan.

Jho Low sebelum ini diburu pihak berkuasa antarabangsa susulan dakwaan beliau menjadi individu utama di sebalik penyelewengan dana berbilion ringgit milik 1MDB.

BBerkaitan

Latest articles