JOHOR BAHRU: Keputusan Barisan Nasional (BN) dan UMNO Johor untuk bergerak solo pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor disifatkan sebagai manifestasi kematangan demokrasi, namun sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan tetap tidak berubah.
Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, langkah bertanding di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dibuat selepas mengambil kira kekuatan tradisi BN di Johor selain kehendak akar umbi parti di negeri itu.
Menurut Ahli Parlimen Pontian berkenaan, kemenangan besar BN pada PRN Johor 2022 yang menyaksikan gabungan itu menguasai 40 daripada 56 kerusi DUN membuktikan Johor masih menjadi kubu kuat BN.
Beliau berkata, sepanjang tempoh empat bulan turun padang dan menghadiri pelbagai program UMNO di seluruh Johor, majoriti pimpinan bahagian serta jentera akar umbi menyuarakan hasrat agar BN kembali bertanding secara bersendirian.
“Jentera UMNO di semua peringkat perlu terus mendekati rakyat pelbagai kaum termasuk Melayu, Cina, India, Orang Asli dan kaum minoriti lain kerana kita membawa semangat Bangsa Johor,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Terdahulu, Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan gabungan itu akan bertanding solo pada PRN akan datang selepas mengambil kira pandangan rakyat serta suara kepimpinan akar umbi negeri.
Menurut beliau, keputusan bertanding di semua 56 kerusi DUN merupakan tawaran jelas BN untuk terus membentuk kerajaan negeri yang stabil, kukuh dan fokus kepada pembangunan Johor serta kesejahteraan rakyat.
Pada PRN Johor Mac 2022, BN mencatat kemenangan dominan dengan menguasai 40 kerusi DUN.
Pakatan Harapan (PH) pula memenangi 12 kerusi menerusi DAP sebanyak 10 kerusi, manakala PKR dan Amanah masing-masing satu kerusi. Perikatan Nasional (PN) memperoleh tiga kerusi, sementara MUDA memenangi satu kerusi.
Penggal DUN Johor dijadual berakhir pada April 2027.










