Mahkamah Sesyen Shah Alam Gugurkan Dua Pertuduhan Terhadap Pengarah Dan Syarikat Pristine Offshore

SHAH ALAM: Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu memerintahkan dua pertuduhan rasuah terhadap seorang pengarah syarikat dan sebuah syarikat digugurkan selepas mendapati pertuduhan berkenaan bersifat kabur serta mengandungi unsur ketidakjelasan. 

Hakim Tuan Awang Kerisnada bin Awang Mahmud membuat keputusan itu dalam prosiding melibatkan syarikat Pristine Offshore Sdn Bhd dan pengarahnya, Chew Ben Ben. 

Mahkamah sebelum itu mendengar hujahan pihak pembelaan yang diketuai Tan Sri Dzulkifli Ahmad, yang membantah pertuduhan berkenaan atas alasan ia bersifat defektif selepas kedua-dua tertuduh sebelum ini diberikan pelepasan tidak membebaskan diri (DNAA) sebelum dituduh semula. 

Mengikut pertuduhan, Chew didakwa antara 28 Ogos hingga 14 Oktober 2020 di sebuah bank di Bukit Damansara, Kuala Lumpur, melalui seorang individu lain telah secara rasuah memberikan wang berjumlah RM207,850 kepada seorang ketua pegawai eksekutif syarikat bagi memastikan perjalanan satu projek berkaitan perkhidmatan marin berjalan lancar. 

Pristine Offshore pula berdepan pertuduhan sebagai organisasi komersial di bawah Seksyen 17A Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 atas dakwaan berkaitan transaksi sama. 

Dalam penghakimannya, mahkamah menyatakan frasa “berjalan lancar” yang digunakan dalam pertuduhan mempunyai tafsiran terlalu umum dan boleh membawa pelbagai maksud sama ada positif atau negatif. 

Hakim berkata, walaupun elemen pemberian suapan dinyatakan dengan jelas, penggunaan frasa itu tanpa penjelasan lanjut mengenai perbuatan yang didakwa dilakukan atau diminta daripada penerima suapan boleh menjejaskan hak tertuduh untuk memahami sepenuhnya pertuduhan yang dikenakan terhadap mereka. 

Mahkamah turut merujuk beberapa keputusan terdahulu termasuk kes Chinniah v PP dan Shawal Haji Mohd Yassin v PP berhubung prinsip pertuduhan kabur dan kecacatan yang tidak boleh dipulihkan di bawah Seksyen 422 Kanun Tatacara Jenayah. 

Sehubungan itu, mahkamah membenarkan permohonan pembelaan untuk membatalkan kedua-dua pertuduhan serta mengarahkan wang jaminan dan pasport tertuduh dipulangkan. 

BBerkaitan

Latest articles