Sorok Atas Siling Elak Dicekup, Bakal Pengantin Akhirnya Kantoi Khalwat

JOHOR BAHRU: Seorang lelaki yang dipercayai cuba mengelak dicekup penguat kuasa agama dengan menyorok di atas siling rumah akhirnya gagal apabila helahnya terbongkar dalam serbuan awal pagi di sebuah rumah teres dua tingkat di Johor.

Menurut kenyataan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), operasi dijalankan selepas pihaknya menerima aduan orang awam mengenai kehadiran seorang lelaki di rumah milik nenek teman wanitanya kira-kira pukul 2.30 pagi Selasa lalu.

Pengadu mendakwa lelaki terbabit kerap datang ke rumah berkenaan sehingga menimbulkan syak wasangka penduduk sekitar.

Ketika penguat kuasa tiba di lokasi, pintu rumah dikatakan tidak dibuka walaupun diketuk beberapa kali selama hampir 15 minit.

Hanya selepas amaran diberikan untuk memecahkan tombol pintu, seorang wanita berpakaian longgar tampil membuka pintu.

Hasil pemeriksaan mendapati seorang warga emas sedang tidur di ruang tamu, manakala wanita terbabit mendakwa hanya dia dan neneknya berada di dalam rumah tersebut.

Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut di tingkat atas menimbulkan curiga apabila sebuah bilik yang kelihatan tidak berpenghuni didapati mempunyai siling rosak dan berlubang.

Kecurigaan penguat kuasa bertambah selepas menemui telefon bimbit serta dompet dipercayai milik seorang lelaki di bilik lain dalam rumah itu.

“Penguat kuasa kemudian membuat keputusan memeriksa bahagian siling dan menemui seorang lelaki sedang mencangkung sambil berpaut pada kayu galang,” menurut kenyataan itu.

Lelaki terbabit diarahkan turun sebelum soal siasat mendapati mereka bukan pasangan suami isteri.

JAINJ memaklumkan kedua-duanya masih bujang dan difahamkan bakal mendirikan rumah tangga dalam tempoh beberapa minggu lagi selepas urusan di pejabat kadi selesai.

Wanita itu dikatakan tinggal bersama neneknya yang uzur bagi menjaganya, manakala rumah ibu bapanya terletak kira-kira enam kilometer dari lokasi berkenaan.

Menurut JAINJ, lelaki terbabit datang ke rumah itu sekitar pukul 11.30 malam sebelum pasangan tersebut ditahan atas kesalahan khalwat mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Negeri Johor) 1997.

BBerkaitan

Latest articles