JPJ WPKL Sita Kenderaan Disyaki Klon Dalam Ops KPA

KUALA LUMPUR – Jabatan Pengangkutan Jalan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPJ WPKL) mengesan dan menyita sebuah kenderaan disyaki klon dalam operasi penguatkuasaan menerusi Ops KPA di Jalan Genting Klang berhampiran JPJ WPKL, malam tadi. 

Menurut kenyataan JPJ WPKL, kenderaan jenis Honda Mobilio berwarna perak itu ditahan kira-kira jam 7 malam selepas didapati melakukan kesalahan Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh selain tidak mempunyai perlindungan insurans. 

Hasil semakan lanjut mendapati jenis dan model kenderaan berkenaan tidak sepadan dengan maklumat direkodkan dalam sistem MySikap, manakala pemeriksaan nombor casis dan nombor enjin turut mendapati tiada rekod pendaftaran sah. 

Situasi itu menimbulkan syak bahawa kenderaan terbabit merupakan sebuah kenderaan klon. 

Kenderaan tersebut dipandu seorang wanita tempatan berusia 34 tahun yang memaklumkan beliau tidak mengetahui status sebenar kenderaan itu dan hanya menggunakannya sejak kira-kira seminggu lalu selepas dipinjamkan oleh ahli keluarganya. 

Wanita itu turut memaklumkan kenderaan berkenaan merupakan hadiah hari jadi kepada ibunya yang diuruskan pembeliannya oleh abangnya yang menetap di Singapura. 

Susulan itu, JPJ WPKL mengeluarkan Notis Saman P22 serta menyita kenderaan terbabit di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 untuk tindakan lanjut. 

Antara kesalahan dikenal pasti ialah menggunakan kenderaan tidak berdaftar di bawah Seksyen 7(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, mempamerkan nombor pendaftaran bukan milik kenderaan tersebut di bawah Seksyen 108(3)(f) akta sama serta tiada perlindungan insurans mengikut Seksyen 90(1) akta berkenaan. 

JPJ WPKL memandang serius penggunaan kenderaan klon kerana bukan sahaja melanggar undang-undang, malah boleh menjejaskan keselamatan pengguna jalan raya dan menyukarkan proses penguatkuasaan. 

Sehubungan itu, orang awam dinasihatkan supaya memastikan status pemilikan dan pendaftaran sesebuah kenderaan disemak terlebih dahulu sebelum membeli, menggunakan atau menerima kenderaan daripada mana-mana pihak bagi mengelakkan terlibat dengan kesalahan berkaitan kenderaan klon. 

JPJ WPKL turut memaklumkan operasi penguatkuasaan akan terus dipergiat secara berterusan bagi membanteras penggunaan kenderaan tidak sah dan memastikan pematuhan terhadap undang-undang jalan raya. 

BBerkaitan

Latest articles