Nik Zawawi Mohon Maaf, Akui Khilaf Dalam Ceramah Isu Sahabat Nabi

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pasir Puteh, Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh tampil memohon maaf susulan kontroversi membabitkan kenyataannya mengenai latar kehidupan beberapa sahabat Nabi Muhammad SAW sebelum kedatangan Islam.

Dalam satu kenyataan, beliau mengakui terdapat kelemahan dalam cara penyampaian serta pengolahan fakta ketika menyampaikan ceramah berkenaan sehingga menimbulkan salah faham dalam kalangan masyarakat.

“Saya dengan penuh rendah hati memohon maaf atas kekhilafan tersebut,” katanya sambil menegaskan beliau tidak pernah berniat menghina atau merendahkan martabat para sahabat Rasulullah SAW yang dimuliakan Allah.

Menurut beliau, penjelasan yang diberikan sebelum ini bertujuan menggambarkan bagaimana Islam yang dibawa Nabi Muhammad SAW berjaya mengubah masyarakat jahiliah kepada sebuah tamadun lebih mulia dan berakhlak.

Nik Zawawi turut menegaskan beliau bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kenyataan itu dan menafikan ia mencerminkan pendirian PAS atau kepimpinan parti berkenaan.

Isu tersebut tercetus selepas sedutan video ceramahnya di Kuala Terengganu tular di media sosial, apabila beliau didakwa mengeluarkan kenyataan tidak tepat berkaitan sejarah beberapa sahabat Nabi sebelum memeluk Islam.

Susulan polemik itu, Dewan Ulamak PAS Pusat turut tampil memberikan teguran terhadap wakil rakyat berkenaan dengan mengakui terdapat kesilapan fakta dalam ceramah tersebut.

Ketua Penerangan DUPP, Mohd Nor Hamzah berkata, peringatan secara dalaman telah diberikan kepada Nik Zawawi supaya lebih berhati-hati ketika menyampaikan fakta berkaitan sejarah Islam.

Dalam masa sama, DUPP menegaskan para sahabat Rasulullah SAW wajib dihormati dan sebarang perbahasan mengenai sejarah serta keperibadian mereka perlu dibuat secara tepat, beradab dan berpandukan sumber ilmu yang sahih.

BBerkaitan

Latest articles