KUALA LUMPUR: Penceramah bebas, Fathi Na’im Mazlam hari ini dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen daripada tuduhan merogol seorang remaja perempuan berusia 13 tahun yang didakwa berlaku pada tahun 2021.
Keputusan itu dibuat Hakim Tasnim Abu Bakar selepas mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal mengemukakan bukti mencukupi untuk membentuk kes prima facie terhadap tertuduh.
Menurut beliau, mahkamah tidak dapat menerima keterangan saksi utama iaitu pengadu kerana terdapat percanggahan dengan kenyataan terdahulu yang diberikan dalam prosiding di Mahkamah Sesyen Klang.
Katanya, pihak pembelaan sebelum ini dibenarkan mencabar kredibiliti saksi berkenaan selepas timbul percanggahan dalam keterangannya ketika perbicaraan.
“Selepas meneliti keseluruhan keterangan saksi pendakwaan serta hujahan kedua-dua pihak, mahkamah mendapati kes prima facie gagal dibuktikan,” katanya ketika menyampaikan keputusan.
Sepanjang prosiding, seramai 11 saksi dipanggil memberi keterangan termasuk pegawai polis, pegawai perubatan dan ibu kepada mangsa.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Pervinah Yusof manakala Fathi diwakili peguam Ashraff Diah.
Fathi sebelum ini didakwa pada 1 Disember 2022 atas pertuduhan merogol remaja terbabit di sebuah hotel di ibu negara antara jam 2 pagi hingga 10 pagi pada Disember 2021.
Dua hari lebih awal, dia turut dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Klang atas sembilan pertuduhan lain membabitkan mangsa sama termasuk amang seksual fizikal dan hubungan seks menggunakan objek, yang didakwa berlaku antara Jun 2021 hingga Februari 2022.
Pada 18 September 2025, Mahkamah Sesyen Klang menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan tiga sebatan terhadapnya selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan rogol serta satu pertuduhan amang seksual fizikal.
Bagaimanapun, pelaksanaan hukuman itu ditangguhkan oleh Mahkamah Tinggi Klang sementara menunggu rayuan difailkan dan diputuskan.










