RM3.18 Bilion Diluluskan Bagi 18 Projek Tebatan Banjir Di Pahang

KUANTAN: Kerajaan Persekutuan bersama kerajaan negeri Pahang meluluskan peruntukan berjumlah RM3.184 bilion bagi melaksanakan 18 projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di seluruh negeri sebagai langkah mengurangkan risiko banjir yang sering melanda beberapa daerah.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, projek berkenaan melibatkan pelaksanaan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan RMK13 yang kini sedang berjalan secara berperingkat.

Menurut beliau, daripada keseluruhan projek yang dirancang, sebanyak 11 projek sudah memasuki fasa kerja fizikal di tapak, manakala enam lagi masih di peringkat reka bentuk dan satu projek baharu baru diluluskan menerusi Rolling Plan Pertama (RP1) RMK13.

“Antara kawasan yang terbabit dengan pelaksanaan projek RTB ini ialah Pekan, Kuantan, Temerloh, Lipis dan Bera.

“Alhamdulillah, jumlah keseluruhan kos mencecah RM3.184 bilion dan saya yakin usaha ini mampu membantu mengurangkan risiko banjir di negeri ini,” katanya ketika menjawab soalan V Arumugam (BN-Sabai) pada Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang, hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan projek RTB di Sungai Bentong yang bermula pada November 2025 dijangka siap menjelang November 2029.

Bagaimanapun, Wan Rosdy menjelaskan tempoh pelaksanaan itu bergantung kepada kelancaran kerja kontraktor serta tiada sebarang masalah luar jangka sepanjang projek dijalankan.

BBerkaitan

Latest articles