SHAH ALAM: Kerajaan Selangor konsisten mempertahankan agama Islam, kepentingan Melayu serta kedaulatan institusi diraja apabila menyambut baik penganjuran Himpunan ‘Daulat Tuanku’ oleh Pemuda PAS Selangor pada Sabtu ini.
Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Najwan Halimi berkata, himpunan berkenaan wajar berlangsung dalam suasana aman tanpa menjejaskan ketenteraman awam.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Anggerik itu, beliau turut menghubungi Ketua Polis Selangor bagi memohon kerjasama pihak berkuasa untuk memastikan perhimpunan terbabit berjalan lancar dan terkawal.
“Saya telah berhubung dengan Ketua Polis Selangor dan memohon pihak polis memudah cara himpunan ini agar berlangsung dalam keadaan selamat,” katanya dalam satu kenyataan.
Himpunan tersebut dijadual berlangsung di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor di Shah Alam pada jam 5 petang, Sabtu ini.
Sebelum ini, Ketua Pemuda PAS Selangor, Sukri Omar dilaporkan berkata, himpunan itu diadakan susulan beberapa tindakan dan kenyataan pemimpin DAP yang didakwa tidak menghormati institusi diraja Selangor.
Beliau turut memaklumkan bahawa sekretariat penganjur akan mengemukakan pemakluman rasmi kepada Polis Selangor berhubung penganjuran perhimpunan berkenaan.










