KUALA LUMPUR – Tentera Darat Malaysia akan melaksanakan Eksesais GERAK PANTAS 2026 bermula 11 hingga 15 Mei ini melibatkan pasukan 10 Briged (Para) bagi menguji tahap kesiapsiagaan tempur dan keupayaan operasi pasukan menghadapi sebarang ancaman keselamatan negara.
Menurut kenyataan Tentera Darat Malaysia, latihan tahunan itu akan melibatkan beberapa kawasan di Kelantan termasuk daerah Cherang Ruku dan Pasir Puteh, selain kawasan di Terengganu melibatkan sekitar Pangkalan Udara Gong Kedak, Besut dan Kuala Terengganu.
TDM memaklumkan orang awam dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati ketika berada di jalan raya serta tidak cemas sekiranya terdapat pergerakan anggota dan konvoi tentera, penerbangan aset udara serta bunyi letupan di kawasan terlibat sepanjang tempoh latihan berlangsung.
Menurut kenyataan itu, situasi berkenaan dijangka lebih ketara ketika Fasa Serangan Akhir eksesais yang akan dilaksanakan pada 15 Mei di sekitar kawasan Empangan Tok Gong.
“TDM memberi jaminan bahawa semua aktiviti latihan dilaksanakan secara terancang dan terkawal dengan pematuhan ketat terhadap prosedur keselamatan awam,” menurut kenyataan tersebut.
Dalam pada itu, TDM turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan negeri Kelantan dan Terengganu, agensi keselamatan yang terlibat serta masyarakat setempat atas kerjasama dan sokongan dalam menjayakan eksesais berkenaan.
Menurut TDM, latihan itu penting dalam memperkukuh kesiapsiagaan angkatan tentera serta memastikan tahap pertahanan negara sentiasa berada pada tahap optimum.










