KUANTAN: Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah menzahirkan pendirian agar negeri Pahang menerima layanan dan pertimbangan yang adil daripada Kerajaan Persekutuan susulan isu berkaitan peruntukan kepada negeri itu.
Menerusi satu kenyataan ringkas yang dimuat naik malam tadi, baginda memaklumkan telah mengambil maklum penjelasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung perkara berkenaan.
Dalam kenyataan sama, Tengku Hassanal turut menitipkan serangkap pantun yang mencuri perhatian ramai dan mengundang pelbagai tafsiran dalam kalangan masyarakat.
“Pisang emas dibawa belayar,
Masak sebiji di atas peti,
Hutang emas boleh dibayar,
Hutang budi dibawa mati,” titah baginda.
Semalam, Anwar memaklumkan beliau akan meminta Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan menyediakan penjelasan terperinci mengenai peruntukan Kerajaan Persekutuan kepada Pahang untuk dipersembahkan kepada Tengku Mahkota Pahang.
Kenyataan itu dibuat susulan titah Tengku Hassanal ketika Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang ke-15, yang antara lain meluahkan rasa kecewa terhadap beberapa keputusan Kerajaan Persekutuan yang disifatkan tidak memihak kepada hak serta kepentingan negeri berkenaan.










