BATU PAHAT: Seorang pemandu van dihadapkan ke Mahkamah Majistret Batu Pahat pada Jumaat atas pertuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian seorang murid Tahun Dua dalam kejadian di hadapan sebuah sekolah di Parit Sulong, awal minggu ini.
Tertuduh, Nordin Ithnin, 61, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Arun Noval Dass.
Berdasarkan pertuduhan, warga emas itu didakwa memandu sebuah van secara melulu hingga menyebabkan kematian Nur Aini Umairah Mohd Fareez, 8, kira-kira jam 12.30 tengah hari pada 5 Mei lalu.
Kejadian dilaporkan berlaku di hadapan Sekolah Kebangsaan Seri Maimon, Parit Sulong ketika mangsa sedang menggunakan jalan di kawasan berkenaan.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda sehingga RM50,000 jika sabit kesalahan.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin selain mengarahkan beliau melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali.
Dalam masa sama, lesen memandu tertuduh turut digantung bermula dari tarikh pertuduhan sehingga kes selesai. Mahkamah menetapkan 25 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Firdaus Ruslan, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Tan Song Yan.
Sebelum ini, media melaporkan murid perempuan berusia lapan tahun itu maut selepas dipercayai dilanggar sebuah van ketika berjalan kaki di hadapan pintu pagar sekolah terbabit.
Siasatan awal mendapati van tersebut sedang keluar dari kawasan sekolah menuju ke Jalan Simpang Lima-Parit Sulong selepas selesai menghantar barang.










