KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui usaha beliau untuk menyatukan orang Melayu sepanjang lebih dua tahun lalu tidak berhasil.
Dalam satu kenyataan, beliau berkata pelbagai usaha telah dilakukan bagi menghimpunkan kekuatan Melayu, namun matlamat tersebut gagal dicapai.
Menurut Dr Mahathir, kegagalan itu memberi gambaran masa depan yang membimbangkan apabila negara dikhuatiri akan “terlepas dari tangan orang Melayu”.
“Saya telah usaha lebih dari dua tahun untuk menyatu orang Melayu. Saya perlu akui saya gagal.
“Dan tamatlah sejarah orang Melayu kerana mereka lebih utama nasib pemimpin dari bangsa, negara dan agama,” katanya.
Sebelum ini, Mahathir pernah menggerakkan gagasan penyatuan berasaskan konsep “Payung Besar” yang bertujuan menghimpunkan parti politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta tokoh Melayu di bawah satu sekretariat khas.
Inisiatif berkenaan dilihat sebagai usaha memperkukuh pengaruh politik Melayu menjelang pilihan raya umum akan datang.










