Sultan Selangor Tegas Tidak Perkenan Aktiviti Penternakan Babi Di Negeri Itu

CYBERJAYA – Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor sekali lagi menegaskan Baginda kekal dengan pendirian tidak memperkenankan sebarang aktiviti penternakan babi dijalankan di mana-mana kawasan di Selangor.

Menerusi kenyataan media Istana Selangor hari ini, pendirian itu ditegaskan semula susulan kenyataan media bertarikh 10 Februari 2026.

Menurut kenyataan itu, keputusan berkenaan dibuat selepas mengambil kira implikasi penternakan babi yang boleh menyebabkan pencemaran tanah, udara serta risiko pencemaran sumber air sungai melalui pelepasan najis dan sisa kumbahan.

Baginda turut menzahirkan kebimbangan bahawa aktiviti berkenaan boleh menjejaskan kawasan tadahan air dan sungai-sungai yang menjadi sumber bekalan air bersih kepada kira-kira sembilan juta penduduk di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Selain itu, Sultan Selangor berpandangan kaedah penternakan moden yang mematuhi piawaian memerlukan kos amat tinggi dan tidak praktikal untuk dilaksanakan hanya bagi memenuhi bekalan daging babi di negeri itu.

“Justeru, Baginda mencadangkan agar daging babi diimport dari negeri lain seperti Sarawak bagi memenuhi keperluan masyarakat bukan Islam yang memakan daging babi di Negeri Selangor,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan sama turut menyebut negara seperti Singapura juga tidak menternak babi dan mengimport bekalan daging babi dari luar negara.

Menurut kenyataan itu lagi, Sultan Selangor berpandangan penternakan babi berskala besar mahupun kecil tidak sesuai dilaksanakan di Selangor memandangkan sumber tanah yang terhad serta nilai hartanah yang tinggi.

Baginda bertitah tanah di negeri itu sewajarnya dimanfaatkan untuk tujuan pembangunan yang lebih ekonomik dan memberi manfaat kepada masyarakat secara menyeluruh.

Sehubungan itu, Sultan Selangor menegaskan agar isu penternakan babi dihentikan dan dimuktamadkan sepenuhnya demi mengelakkan keresahan masyarakat serta memastikan keamanan dan keharmonian rakyat di negeri itu terus terpelihara.

BBerkaitan

Latest articles