307 Laporan Polis Berhubung Hina Sultan Selangor, Seorang Ditahan

SHAH ALAM: Sebanyak 307 laporan polis direkodkan setakat ini berhubung penularan kandungan berunsur penghinaan terhadap Sultan Sharafuddin Idris Shah di media sosial.

Perkara itu dimaklumkan kepada Baginda oleh Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar, yang menjelaskan majoriti laporan tertumpu kepada beberapa akaun Facebook tertentu.

Menurutnya, daripada jumlah keseluruhan, sebanyak 282 laporan membabitkan hantaran menghina Sultan Selangor yang dimuat naik menerusi akaun “Huayan The Pureland Learning Center”.

Selain itu, tujuh laporan lagi berkaitan kandungan serupa dikesan di akaun “Beo Choon Yap”, manakala 18 laporan lain merujuk kepada hantaran oleh akaun “Lucas Liam”.

Dalam perkembangan sama, pihak polis telah membuat satu tangkapan di Pulau Pinang bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Siasatan awal percaya gelombang penyebaran kandungan menghina itu tercetus susulan isu penternakan babi di Selangor yang hangat dibahaskan dalam Sidang Dewan Negeri baru-baru ini.

Perkembangan kes ini turut dikongsikan menerusi kenyataan rasmi Selangor Royal Office, yang menegaskan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang cuba mencetuskan provokasi serta menghina institusi diraja.

BBerkaitan

Latest articles