SHAH ALAM: Dewan di-Raja Selangor menegaskan Sultan Sharafuddin Idris Shah bukan sekadar simbol atau ‘rubber stamp’ dalam pentadbiran negeri, sebaliknya memainkan peranan penting sebagai kuasa semak dan imbang terhadap kerajaan.
Dalam satu kenyataan, mereka menjelaskan titah baginda adalah selari dengan prinsip Raja Berperlembagaan dan bertujuan memastikan kepentingan rakyat sentiasa dilindungi, bukan mencampuri urusan pentadbiran seperti didakwa segelintir pihak.
Menurut Dewan di-Raja, tanggapan bahawa titah Sultan melanggar konsep Raja Berperlembagaan adalah tidak tepat dan perlu diperbetulkan.
Sebaliknya, peranan baginda adalah memastikan setiap tindakan kerajaan negeri mematuhi Perlembagaan Persekutuan Malaysia serta Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959.
Mereka menegaskan bahawa titah Sultan membawa maksud nasihat dalam konteks institusi diraja, yang diberikan berasaskan kepentingan rakyat tanpa dipengaruhi agenda politik.
Dalam masa sama, Dewan di-Raja menjelaskan menteri besar wajib berunding dengan Sultan dalam hal ehwal pentadbiran negeri, termasuk memberi sembah maklum sebelum sesuatu keputusan dimuktamadkan.
Proses itu membolehkan baginda meneliti, menasihati dan memastikan keputusan dibuat secara bertanggungjawab.
Kenyataan itu turut menekankan bahawa teguran dan peringatan Sultan adalah penting bagi memastikan kerajaan negeri tidak sekadar berjanji, sebaliknya melaksanakan tindakan berkesan.
Menurut mereka, baginda kerap menerima aduan rakyat berkaitan isu harian seperti banjir, kutipan sampah dan kerosakan jalan, dengan pengadu menyertakan maklumat lengkap, bukti kesulitan yang benar-benar dihadapi.
Dewan di-Raja menambah, pengalaman luas Sultan Sharafuddin selama lebih lima dekad dalam institusi diraja menjadikan baginda amat memahami batas serta tanggungjawab sebagai Raja Berperlembagaan, sekali gus memastikan pentadbiran negeri kekal berpaksikan undang-undang dan kesejahteraan rakyat.










