‘DAK’ Berhijrah Ke Jepun Selama 25 Tahun, Kebajikan Terjamin

TAIPING: Tiga gajah dari Malaysia, Dara, Amoi dan Kelat, akan ditempatkan di Zoo Tennoji selama tempoh 25 tahun berdasarkan perjanjian kerjasama antarabangsa yang dimeterai pada 2022.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping, Mohamed Akmal Dahalan berkata, kesepakatan itu dicapai bersama Zoo Taiping & Night Safari dalam usaha memperkukuh program pertukaran dan pemuliharaan hidupan liar.

Menurut beliau, ketiga-tiga gajah berkenaan kini berada dalam keadaan baik dengan pemantauan rapi melibatkan aspek kesihatan, pemakanan serta tingkah laku oleh pakar veterinar dan penjaga berpengalaman.

Malah, rekod terkini menunjukkan peningkatan berat badan yang konsisten bagi Dara, Amoi dan Kelat, mencerminkan tahap penjagaan serta kebajikan haiwan yang memuaskan mengikut piawaian antarabangsa.

Dalam usaha memastikan ketelusan, pihak MPT akan mengeluarkan laporan berkala mengenai perkembangan gajah-gajah tersebut, selain terus berhubung dengan pihak zoo di Osaka bagi mendapatkan maklumat terkini.

Pada masa sama, MPT turut memaklumkan akan meneliti memorandum yang diterima berkaitan isu berkenaan sebelum memberikan maklum balas rasmi dalam masa terdekat.

BBerkaitan

Latest articles