SHAH ALAM: Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan kebimbangan terhadap persepsi segelintir pihak yang menganggap tiada lagi golongan fakir dan miskin di negeri ini, sekali gus berpotensi menjejaskan kutipan zakat.
Menerusi kenyataan di Facebook Selangor Royal Office, baginda menegaskan bahawa realiti di lapangan menunjukkan kemiskinan masih wujud, malah terdapat pertambahan kes baharu.
Berdasarkan data Lembaga Zakat Selangor tahun lalu, kira-kira 14,000 keluarga di Selangor masih dikategorikan sebagai fakir dan miskin.
Baginda bertitah, kekeliruan berhubung dakwaan kononnya kemiskinan tegar sudah tidak lagi wujud di Selangor perlu diperbetulkan, kerana masih ramai penerima zakat yang layak di bawah kategori asnaf.
Penentuan status asnaf, jelas kenyataan itu, dibuat secara teliti oleh Zakat Selangor berdasarkan pengiraan had kifayah bagi memastikan bantuan sampai kepada golongan benar-benar memerlukan.
Dalam masa sama, peningkatan jumlah asnaf baharu turut didorong oleh langkah proaktif pihak berkuasa zakat dalam memperkukuh proses penilaian serta memperluas capaian bantuan kepada keluarga yang layak.
Walaupun berdepan cabaran itu, lebih 2,800 keluarga fakir dan miskin berjaya keluar daripada kepompong kemiskinan hasil intervensi berterusan yang dilaksanakan.
Baginda turut menzahirkan penghargaan terhadap prestasi Zakat Selangor yang mencatatkan agihan sebanyak RM1.33 bilion tahun lalu, dengan lebih 60 peratus disalurkan kepada golongan fakir dan miskin melibatkan lebih 75,000 keluarga di seluruh negeri.
Sehubungan itu, baginda mahu agihan zakat terus memberi keutamaan kepada keperluan asas seperti bantuan kewangan bulanan, makanan, perumahan serta sokongan pendidikan.
Sultan Sharafuddin juga menegaskan kepentingan pengurusan zakat yang dilaksanakan secara bertanggungjawab, telus dan berintegriti, selaras dengan tuntutan syariat Islam.










