SEREMBAN: UMNO Negeri Sembilan menegaskan pendirian mereka untuk terus menyokong Kerajaan Perpaduan negeri demi kepentingan rakyat, namun pada masa sama kekal hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Menteri Besar.
Dalam satu kenyataan media, parti itu memaklumkan keputusan untuk mengekalkan kerjasama dibuat dengan menghormati ketetapan pucuk pimpinan tertinggi UMNO, termasuk hasil perbincangan di peringkat Biro Politik dan Majlis Perundingan bersama Pakatan Harapan.
Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Mustapha Nagoor menegaskan, meskipun pendirian politik kekal bersama kerajaan, UMNO Negeri Sembilan menegaskan kesemua ADUN Barisan Nasional akan terus melaksanakan tanggungjawab seperti biasa dengan memberi keutamaan kepada kebajikan rakyat serta memperkukuh penyampaian perkhidmatan di kawasan masing-masing.
“Kami kekal hilang kepercayaan kepada YAB Menteri Besar di atas kegagalan menguruskan krisis terburuk yang pernah berlaku di negeri ini sehingga menjejaskan keyakinan rakyat terhadap Institusi Adat dan Undang-Undang Tubuh Negeri Sembilan.
“UMNO Negeri Sembilan juga berharap krisis berkaitan kepimpinan adat
di Negeri Sembilan ketika ini akan dapat diselesaikan dengan baik, harmoni,
mengikut lunas Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 dan
mengikut tatacara adat yang sebenarnya,” ujarnya.
Dalam pada itu, parti itu menyeru orang ramai tidak mengeruhkan keadaan dengan kenyataan berunsur provokasi atau penghinaan terhadap institusi adat, sebaliknya menghormati setiap proses yang sedang berlangsung.










