PUTRAJAYA: Kepimpinan tertinggi Pakatan Harapan (PH) dan UMNO dijangka mengadakan perbincangan malam ini dalam satu mesyuarat Biro Politik bersama yang akan berlangsung di Kompleks Sri Perdana.
Pertemuan yang dijadualkan pada jam 8 malam itu difahamkan akan meneliti beberapa isu semasa termasuk perkembangan politik yang semakin hangat di Negeri Sembilan.
Antara perkara yang menjadi perhatian ialah tindakan beberapa ADUN UMNO yang menarik sokongan terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun yang mencetuskan pergolakan pentadbiran negeri baru-baru ini.
Selain itu, perbincangan turut dijangka menyentuh soal persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN), termasuk kemungkinan pembahagian kerusi dan hala tuju kerjasama antara parti dalam Kerajaan Perpaduan.
Mesyuarat tersebut akan dipengerusikan bersama oleh Perdana Menteri merangkap Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden UMNO yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Dalam masa sama, langkah Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook yang mengarahkan jentera parti bersiap siaga menghadapi kemungkinan PRN mengejut di beberapa negeri.










