PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengambil langkah segera ke arah pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) dengan menghentikan serta-merta semua prosiding tatatertib mahasiswa berkaitan kebebasan bersuara, penyataan pandangan, kritikan awam dan perhimpunan secara aman di semua universiti awam.
KPT berkata langkah itu dilaksanakan susulan penegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa kebebasan mahasiswa perlu diperluaskan segera tanpa menunggu keseluruhan proses penggubalan akta baharu dimuktamadkan.
Menurut kementerian itu, beberapa peruntukan dalam AUKU serta Kaedah-Kaedah Tatatertib Pelajar yang dilihat mengehadkan kebebasan mahasiswa untuk bersuara dan berpersatuan telah dikenal pasti untuk dikecualikan daripada pemakaian sebagai langkah awal.
“Selaras dengan langkah tersebut, KPT ingin mengumumkan bahawa semua prosiding tatatertib berkaitan dengan kebebasan bersuara, penyataan pandangan, kritikan awam dan perhimpunan secara aman di semua universiti awam hendaklah dihentikan berkuat kuasa serta-merta,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Antara kebebasan yang diberi perhatian termasuk pengurusan persatuan dan kelab, pengurusan aktiviti pelajar serta kebebasan bersuara, berhimpun, penggunaan platform komunikasi dan pengedaran serta penerbitan dokumen.
KPT berkata penelitian itu dibuat bagi menterjemahkan penegasan Perdana Menteri dalam Forum Ilmuwan Malaysia MADANI (FIM) Siri 13, khususnya berkaitan usaha pemansuhan AUKU.
Bagaimanapun, kementerian menegaskan kebebasan tersebut tidak bermakna mahasiswa terlepas daripada tanggungjawab atau keluhuran undang-undang.
“Perbuatan yang melibatkan keganasan, vandalisme, kerosakan harta, kesalahan jenayah, salah laku akademik atau pelanggaran tatatertib yang sah tetap tertakluk kepada undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa,” katanya.
Dalam pada itu, KPT turut akan meneliti peruntukan berkaitan mahasiswa di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM), yang tidak tertakluk kepada AUKU.
Langkah itu bagi memastikan kedua-dua institusi berkenaan turut selaras dengan pembaharuan yang sedang dilaksanakan kerajaan dalam memperluas ruang kebebasan mahasiswa.
KPT berkata kementerian kekal komited membangunkan tatakelola pendidikan tinggi yang lebih terbuka, tersusun dan inklusif dengan melibatkan semua pemegang taruh.
Usaha itu, katanya, penting bagi membentuk ekosistem pendidikan tinggi masa depan yang berkualiti dan pada masa sama memberi ruang lebih luas kepada mahasiswa untuk bersuara serta berpersatuan secara bertanggungjawab.










