KBS Sedia Pertimbang Tukar Nama Velodrom Azizulhasni

TAIPING: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) membuka ruang untuk meneliti cadangan menamakan semula Velodrom Nasional di Nilai sebagai Velodrom Azizulhasni, sebagai penghargaan terhadap sumbangan besar jaguh berbasikal trek negara itu.

Menterinya, Dr. Mohammed Taufiq Johari berkata, pihaknya menyambut baik usul yang dikemukakan oleh Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), memandangkan Datuk Azizulhasni Awang atau lebih dikenali sebagai ‘The Pocket Rocketman’ merupakan antara aset sukan paling bernilai negara di pentas antarabangsa.

Menurut beliau, cadangan berkenaan bagaimanapun perlu melalui perbincangan lanjut melibatkan pelbagai pihak berkepentingan sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.

“Kita amat menghargai sumbangan beliau kepada negara. Justeru, KBS bersedia meneliti cadangan ini bersama persatuan dan pihak berkaitan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Kejohanan Muay Thai Antarabangsa Malaysia 2026 (MIMAC 3.0) di Dataran Warisan Taiping.

Tambahnya, atlet berstatus pemenang pingat perak Olimpik itu wajar terus dihargai dan diangkat sebagai ikon sukan negara, sejajar dengan usaha kerajaan memartabatkan individu yang berjasa di peringkat global.

Sebelum ini, PKBM dilaporkan meluluskan usul menukar nama velodrom tersebut dalam mesyuarat agung tahunannya, sebagai tanda penghargaan terhadap pencapaian cemerlang Azizulhasni dalam arena berbasikal trek dunia.

Presiden PKBM, Amarjit Singh Gill memaklumkan cadangan itu mendapat sokongan sebulat suara ahli gabungan dan akan dikemukakan kepada KBS untuk pertimbangan lanjut, memandangkan fasiliti berkenaan berada di bawah pemilikan kerajaan.

BBerkaitan

Latest articles