Ustazah Asma’ Harun Tegur Budaya Hedonisme Kian Membimbangkan

KUALA LUMPUR: Fenomena hiburan tanpa batas yang semakin berleluasa dilihat bukan sekadar isu agama, malah mencerminkan kemerosotan nilai kemanusiaan dan budaya dalam masyarakat.

Pendakwah bebas, Ustazah Asma’ Harun menegaskan, tiada mana-mana agama atau budaya yang mengajar manusia bertindak di luar kawalan hingga mengabaikan adab dan batas moral.

Menurut beliau, prinsip kesopanan dan kesusilaan yang menjadi asas negara sepatutnya terus dipelihara oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang.

“Apabila sesuatu perbuatan jelas melampaui batas, ia bukan lagi soal perbezaan agama, tetapi soal maruah dan nilai kemanusiaan sejagat,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Beliau turut mengingatkan bahawa keadaan menjadi lebih membimbangkan apabila perbuatan mungkar tidak lagi dirasakan sebagai satu kesalahan, sebaliknya dipertahankan dengan pelbagai alasan atas nama keterbukaan.

“Jangan tersilap tafsir. Ia bukan tanda kemajuan atau keterbukaan, tetapi petunjuk bahawa hedonisme semakin berakar dan imej bangsa semakin terhakis,” ujarnya.

Dalam pada itu, Asma’ menegaskan, masyarakat tidak seharusnya berdiam diri hanya kerana takut kepada pandangan manusia sehingga melupakan tanggungjawab moral.

Katanya, apa yang lebih membimbangkan adalah apabila hati semakin hilang sensitiviti terhadap dosa sehingga perkara yang dahulunya memalukan kini dianggap normal, malah dijadikan bahan hiburan.

“Ada yang cuba menghalalkan dengan alasan ia ruang hiburan pihak tertentu, namun hakikatnya fitrah manusia tetap menolak perbuatan yang menjatuhkan kehormatan diri,” jelasnya.

Beliau mengingatkan bahawa setiap individu akan dipersoalkan bukan berdasarkan sokongan yang diterima, tetapi tindakan yang diambil apabila berdepan kemungkaran.

BBerkaitan

Latest articles