KUALA LUMPUR: Satu sekretariat yang mewakili sokongan terhadap Institusi Diraja Negeri Sembilan menggesa tindakan diambil terhadap kepimpinan UMNO negeri itu susulan dakwaan penglibatan Yang di-Pertuan Besar dalam program sambutan ulang tahun parti itu.
Pengerusinya, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharuddin, dalam satu kenyataan mendakwa kepimpinan UMNO Negeri Sembilan bertindak tidak wajar dengan mengaitkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir dalam acara Sambutan Ulang Tahun ke-80 parti tersebut.
Menurut beliau, tindakan itu didakwa bercanggah dengan prinsip menghormati institusi Raja Berperlembagaan serta boleh menimbulkan persepsi negatif terhadap peranan institusi diraja dalam landskap politik.
Dalam kenyataan sama, sekretariat tersebut turut mendakwa bahawa langkah berkenaan mencabar semangat yang termaktub dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 serta prinsip di bawah Perlembagaan Persekutuan Malaysia berkaitan kedudukan Raja-Raja Melayu.
“Tindakan ini secara jelas mencabul kedaulatan DYMM Yang di-Pertuan Besar yang termaktub dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 Bahagian II dan melanggar prinsip Raja Berperlembagaan di bawah Perkara 32 dan Perkara 181 Perlembagaan Persekutuan.
“Institusi Diraja yang menjadi lambang kedaulatan Adat Perpatih telah dijadikan bahan politik murahan demi mengemis sokongan,” tegasnya.
Sehubungan itu, pihak sekretariat mengemukakan tiga tuntutan utama kepada Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias dan 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN).
Antaranya termasuk permohonan maaf secara terbuka kepada Yang di-Pertuan Besar, siasatan oleh pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia serta tindakan disiplin oleh kepimpinan tertinggi parti.
Selain itu, sekretariat berkenaan turut menetapkan tempoh 48 jam untuk pihak yang terlibat memberikan maklum balas terhadap tuntutan tersebut, sebelum mempertimbangkan tindakan undang-undang lanjut.










