UMNO N. Sembilan Sanggup Jadi Pembangkang Kerana Hilang Kepercayaan Terhadap MB

KUALA LUMPUR: UMNO Negeri Sembilan mengambil pendirian tegas untuk tidak terus berada dalam kerajaan negeri jika hanya sekadar “memerhati kesilapan” pentadbiran sedia ada, sebaliknya sanggup berperanan sebagai pembangkang demi prinsip parti.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Jalaluddin Alias menegaskan keputusan itu dibuat selepas keyakinan terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun semakin terhakis susulan kegagalan mengurus isu melibatkan adat dan perlembagaan negeri.

Menurut beliau, krisis yang berlaku ketika ini bukanlah sesuatu yang muncul secara tiba-tiba, sebaliknya berpunca daripada kelemahan pengurusan yang dianggap tidak teratur.

“Lebih baik kami berada di luar kerajaan daripada terus berada di dalam tetapi tidak mampu menegur atau memperbetulkan keadaan,” katanya ketika berucap pada sambutan ulang tahun UMNO ke-80 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.

Dalam masa sama, Jalaluddin memaklumkan fokus utama UMNO Negeri Sembilan kini adalah memperkukuh jentera akar umbi sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).

Beliau turut menggesa kepimpinan pusat agar memberi perhatian serius terhadap pandangan di peringkat akar umbi, khususnya berkaitan hala tuju kerjasama politik menjelang pilihan raya akan datang.

“Kita mahu UMNO kembali dominan dengan memenangi sebanyak mungkin kerusi. Itu matlamat utama yang perlu diberi keutamaan,” ujarnya.

Tambah beliau, kekuatan parti di Negeri Sembilan ketika ini banyak bergantung kepada kesepaduan pimpinan serta kesetiaan 13 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang kekal bersama parti.

Dalam nada tegas, beliau turut mengingatkan agar masa depan UMNO tidak dikompromi hanya untuk menjaga kepentingan pihak tertentu.

Jalaluddin juga mengakui bertanggungjawab terhadap kemelut yang berlaku, namun menegaskan tindakannya adalah demi memastikan parti terus berada di landasan perjuangan sebenar, selagi diberikan kepercayaan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Mengulas tuduhan bahawa tindakan menarik sokongan itu sebagai usaha “tebuk atap”, beliau menolak dakwaan tersebut dan menegaskan ia tidak pernah dirancang.

“Kalau benar mahu berbuat demikian, peluang sudah lama ada selepas pilihan raya negeri. Namun UMNO memilih untuk bekerjasama dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Tegas beliau lagi, tindakan UMNO Negeri Sembilan bukan didorong kepentingan jawatan, sebaliknya berlandaskan prinsip dan maruah parti yang tidak boleh dikompromi.

BBerkaitan

Latest articles