KUALA LUMPUR: Datuk Seri Mohamad Hasan mengakui hubungan antara orang Melayu dan UMNO kini tidak lagi seakrab dahulu, sekali gus menyaksikan parti itu semakin tersisih daripada naratif kejayaan semasa.
Menurut beliau, situasi berkenaan bukan sesuatu yang boleh dinafikan, sebaliknya perlu dihadapi dengan berani melalui perubahan menyeluruh yang menekankan prestasi, integriti serta pendekatan baharu.
Berucap ketika merasmikan Sambutan Ulang Tahun ke-80 UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, Timbalan Presiden UMNO itu menegaskan usaha memulihkan keyakinan orang Melayu terhadap parti itu perlu digerakkan segera.
“Kepercayaan itu mesti dibina semula melalui kejujuran dan hasil kerja nyata, bukan sekadar retorik,” katanya.
Dalam masa sama, Mohamad berkata UMNO kini berdepan persoalan besar mengenai arah masa depan, termasuk gagasan yang mampu memperkukuh kedudukan Malaysia serta meningkatkan daya saing orang Melayu di peringkat global.
Beliau turut membangkitkan keperluan melonjakkan keupayaan profesional Melayu, memartabatkan institusi pendidikan tinggi ke tahap dunia, serta menyesuaikan diri dengan cabaran globalisasi dan era digital.
Katanya, perubahan landskap dunia termasuk konflik antarabangsa dan perkembangan teknologi harus dijadikan pengajaran untuk membina ketahanan ekonomi serta politik bangsa.
“Revolusi digital yang berlaku hari ini adalah antara yang paling besar dalam sejarah manusia dan ia perlu dimanfaatkan sebaiknya,” ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau turut menekankan cabaran mendekati generasi muda masa kini yang dibesarkan dalam dunia tanpa sempadan digital.
Golongan ini, katanya, semakin jauh daripada akar budaya tradisional, justeru UMNO perlu mencari pendekatan baharu untuk menarik minat mereka terhadap perjuangan bangsa dan identiti Melayu.
“Persoalannya, bagaimana kita mahu menambat hati generasi digital ini supaya mereka kembali memahami dan menghargai perjuangan serta masa depan bangsa?” katanya.










