Zahid Sokong Penubuhan Suruhanjaya Guru, Mahu Profesion Perguruan Dimartabatkan

KUALA LUMPUR,— Timbalan Perdana Menteri , Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersetuju supaya penubuhan Suruhanjaya Guru disegerakan sebagai langkah memperkasa dan memartabatkan profesion perguruan di negara ini.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan Presiden UMNO itu berkata, beliau sendiri akan membawa cadangan berkenaan  yang diluluskan sebagai resolusi dalam Kongres Pendidikan Bumiputera 2026 ke mesyuarat Jemaah Menteri dalam masa terdekat.

Menurutnya, peranan guru tidak boleh dilihat secara sempit sebagai penyampai silibus semata-mata, sebaliknya sebagai pembina generasi masa depan negara.

“Guru bukan sekadar penyampai silibus dalam bilik darjah, tetapi pembina manusia sejagat. Maka kebajikan, latihan, beban tugas serta ekosistem sekolah mesti menjadi keutamaan.

“Jangan sampai guru lebih banyak mengisi borang daripada mendidik murid untuk berjaya,” katanya ketika berucap pada majlis penutupan kongres berkenaan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, hari ini.
Dalam ucapan sama, Ahmad Zahid menggariskan lima fokus utama pembaharuan pendidikan negara yang perlu diberi perhatian serius.

Beliau menegaskan kepentingan memperluas sistem pendidikan pelbagai laluan serta memperkukuh pendidikan prasekolah sebagai asas pembinaan generasi.

“Pendidikan bermula sejak awal usia. Jika asas anak lemah di peringkat awal, kita akan terus mengejar kelemahan itu sepanjang hayat.

“Sebab itu akses kepada prasekolah berkualiti mesti diperluas, khususnya di luar bandar, kawasan miskin bandar serta pedalaman Sabah dan Sarawak,” katanya.

Selain itu, beliau turut menekankan keperluan memperkasa Wakaf Pendidikan Bumiputera bagi membantu pelajar kurang berkemampuan serta mengurangkan kebergantungan kepada dana tahunan kerajaan.

“Pendidikan memerlukan sumber jangka panjang. Wakaf boleh menjadi jambatan antara kekuatan umat dengan masa depan bangsa,” katanya.

Dalam masa sama, beliau mengulangi kepentingan memartabatkan profesion perguruan serta menetapkan hala tuju pendidikan negara yang jelas, inklusif dan berteraskan nilai, bukan sekadar mengejar ranking antarabangsa atau memenuhi keperluan pasaran pekerjaan semata-mata.

Sementara itu, ketika ditemui selepas kongres berkenaan, Ahmad Zahid menjelaskan usaha memperkasa pendidikan Bumiputera bukan bermaksud negara gagal, sebaliknya memerlukan lonjakan baharu bagi meningkatkan daya saing masa depan.

“Bukan maksud saya begitu, tetapi kita mesti melakukan lebih lonjakan terhadap kejayaan sedia ada kerana kita harus menyediakan membina generasi untuk 50 hingga 100 tahun akan datang,” katanya.

Beliau turut mencadangkan agar pencapaian resolusi kongres itu dinilai dalam tempoh 20 tahun, bersempena ulang tahun ke-100 UMNO.

Menurutnya, semua resolusi yang dipersetujui akan dibawa ke Jemaah Menteri bagi memastikan ia diterjemahkan sebagai agenda nasional yang inklusif.

“Kita tidak mengenepikan kaum lain atau keperluan pihak lain. Pendidikan adalah agenda nasional yang mesti kita depani bersama,” katanya.

Mengulas isu pendidikan tahfiz, beliau berkata usaha sedang giat dilakukan untuk mengarusperdanakan pelajar tahfiz melalui ekosistem pendidikan lebih inklusif dan berorientasikan kerjaya.

Katanya, pelajar tahfiz tidak lagi terhad kepada bidang pengajian agama semata-mata, sebaliknya digalakkan menceburi bidang profesional melalui integrasi dengan pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET).

“Saya sendiri telah memulakan pendekatan menggabungkan tahfiz dan TVET supaya mereka mempunyai laluan menjadi profesional dalam pelbagai bidang,” katanya.

Tambah beliau, penubuhan Majlis TVET Negara serta cadangan Majlis Tahfiz Negara akan membantu menyelaras dan memperkukuh usaha memperluas peluang pendidikan kepada golongan berkenaan.

BBerkaitan

Latest articles