KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia tidak akan berdiam diri susulan penahanan aktivis kemanusiaan oleh tentera Israel, sebaliknya sedang mempergiat usaha diplomatik bersama negara sahabat bagi memastikan mereka dibebaskan segera.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata pihaknya kini berhubung rapat dengan Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Dr. Sani Araby bagi mendapatkan maklumat terkini berhubung situasi melibatkan peserta misi Global Sumud Flotilla (GSF).
Dalam masa sama, beliau menyeru keluarga para aktivis supaya terus tabah menghadapi dugaan ini sambil menzahirkan harapan agar semua yang terlibat berada dalam keadaan selamat.
“Ini adalah saat yang menguji nurani kita sebagai manusia. Kita berdoa agar segala urusan dipermudah dan mereka dilindungi daripada sebarang malapetaka,” katanya menerusi hantaran di Facebook malam ini.
Mengulas lanjut, beliau menyifatkan tindakan Israel sebagai tidak berperikemanusiaan apabila menghalang misi bantuan kemanusiaan ke Gaza, malah bertindak menahan aktivis di perairan antarabangsa.
Terdahulu, dilaporkan sebanyak 22 kapal yang membawa 186 aktivis dalam misi GSF 2.0 dipintas tentera Israel pada awal pagi. Daripada jumlah itu, enam kapal dilaporkan ditahan, melibatkan 10 rakyat Malaysia.
Antara rakyat Malaysia yang terlibat termasuk Zainal Rashid Ahmad, Osman Zolkifli, Dr. Jihan Alya Mohd Nordin, Mohd Shamsir Mohd Isa, Hazwan Hazim Dermawan, Mohd Hanafi Mohd Salim, Ahmad Musa Al-Nuwayri Kamaruzaman, Norhelmi Ab Ghani, Mohd Redzal Amzah dan Muhamad Muhsin Zaidi.










