KUALA LUMPUR: DAP menyambut baik keputusan Biro Politik UMNO yang terus menyokong Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan, sekali gus memastikan kestabilan politik dan kebajikan rakyat di negeri itu terus terpelihara.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, pendirian tersebut selari dengan kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang telah dimaklumkan dalam mesyuarat Kabinet sebelum ini.
Menurut beliau, keputusan itu secara jelas menunjukkan kerajaan sedia ada akan terus mentadbir, sekali gus menolak sebarang usaha menubuhkan kerajaan baharu melalui kaedah ‘tebuk atap’, walaupun terdapat 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) yang menyatakan hilang kepercayaan terhadap Menteri Besar.
“Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan kekal dan akan terus berfungsi seperti biasa bagi memastikan pentadbiran negeri berjalan lancar,” katanya kepada media selepas menghadiri sebuah forum di ibu negara hari ini.
Dalam pada itu, beliau mengakui masih terdapat isu melibatkan institusi adat dan diraja negeri yang belum diselesaikan, namun menegaskan perkara tersebut berada di luar bidang kuasa kerajaan dan perlu ditangani secara dalaman oleh institusi berkenaan.
Sementara itu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memaklumkan satu pertemuan antara UMNO dan Pakatan Harapan (PH) akan diadakan dalam masa terdekat bagi merungkai isu berbangkit, selaras dengan perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan.
Terdahulu, 14 ADUN BN Negeri Sembilan mengumumkan hilang kepercayaan terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun susulan kemelut pentadbiran negeri.
Bagaimanapun, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Aminuddin akan terus menjalankan tugas seperti biasa selaras dengan titah Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.










