KUALA LUMPUR: Seorang wanita dijatuhi hukuman penjara dua tahun oleh Mahkamah Tinggi selepas mengaku bersalah menyebabkan kematian bayi perempuan yang baru dilahirkannya dengan mencampak mangsa dari tingkat 38 sebuah kondominium di Sentul Timur, tahun lalu.
Hakim Datuk Aslam Zainuddin membuat keputusan itu terhadap tertuduh, Lua Mei Zhu, 24, yang dilihat sebak dan menangis sejurus hukuman dijatuhkan.
Mengikut pertuduhan pilihan, wanita berkenaan melakukan perbuatan itu dalam keadaan fikiran terganggu selepas melahirkan bayi terbabit, antara pukul 1.30 tengah hari hingga 9 malam pada 26 Februari 2025.
Berdasarkan fakta kes, kejadian terbongkar selepas seorang lelaki menemui bayi berkenaan di beranda luar sebuah unit di tingkat sembilan kondominium pada pukul 10.21 malam hari sama sebelum memaklumkan kepada polis.
Siasatan lanjut membawa pihak berkuasa ke unit di tingkat 38, di mana tertuduh ditemui dalam bilik kediaman tersebut.
Hasil siasatan mendapati bayi itu dicampakkan melalui tingkap tandas sejurus dilahirkan, dengan tertuduh mendakwa bertindak dalam keadaan panik.
Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 309A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta denda jika sabit kesalahan.
Dalam rayuan, peguam bela memaklumkan tertuduh mengalami tekanan emosi dan kemurungan berpanjangan selepas berpisah dengan teman lelaki, selain menyembunyikan kehamilan luar nikah kerana takut stigma masyarakat.
Keadaan itu menyebabkan tertuduh tidak mendapatkan rawatan sepanjang kehamilan dan kemudiannya menjalani rawatan psikiatri selama tiga bulan di Hospital Bahagia Ulu Kinta.
Bagaimanapun, pihak pendakwaan menegaskan kesalahan itu amat serius kerana meragut nyawa bayi yang tidak berdosa, malah tertuduh mempunyai pilihan lain ketika kejadian berlaku.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara dua tahun sebagai pengajaran serta mengambil kira faktor kesihatan mental tertuduh.










