UMNO-BN Negeri Sembilan Mampu Bentuk Kerajaan Susulan Kesediaan 5 ADUN PN Bekerjasama

SEREMBAN: UMNO dan Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan kini mendakwa memiliki majoriti mudah untuk membentuk kerajaan, susulan sokongan lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perikatan Nasional (PN).

Dalam satu kenyataan rasmi, UMNO-BN Negeri Sembilan memaklumkan pihaknya mengambil maklum pendirian ADUN PN itu, selain menghargai keprihatinan yang ditunjukkan terhadap kemelut pentadbiran negeri ketika ini.

Menurut mereka, kesediaan lima ADUN PN untuk bekerjasama dilihat sebagai langkah penting dalam memastikan kestabilan politik negeri terus terjamin.

“Dalam situasi luar biasa ini, kepentingan rakyat perlu diutamakan melebihi kepentingan parti. Kami bersedia mengetepikan perbezaan ideologi demi membentuk kerajaan yang stabil dengan segera,” menurut kenyataan itu.

UMNO-BN Negeri Sembilan turut menegaskan bahawa pendekatan mereka kekal pragmatik dan inklusif, dengan keutamaan diberikan kepada penyatuan majoriti ADUN bagi memastikan pentadbiran negeri dapat berjalan lancar.

Tambah kenyataan itu, sokongan yang diterima daripada ADUN PN bukan sahaja membuka ruang kepada pembentukan kerajaan baharu, malah dilihat mampu memperkukuh usaha mempertahankan adat serta memacu pembangunan negeri.

“Penyatuan suara majoriti ini akan membawa naratif baharu yang lebih kukuh demi masa depan Negeri Sembilan,” jelas mereka.

BBerkaitan

Latest articles