MELAKA: Seorang pempengaruh media sosial terkenal dijangka berdepan pertuduhan di mahkamah Isnin ini susulan kes kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun yang dilaporkan positif dadah selepas dipercayai memakan gula-gula mengandungi bahan terlarang.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar memaklumkan, pihaknya telah menerima arahan daripada Timbalan Pendakwa Raya untuk mendakwa lelaki berusia 39 tahun itu di Kompleks Mahkamah Melaka.
Menurut beliau, pertuduhan akan dibuat dalam masa terdekat selepas siasatan lengkap dijalankan.
Kes berkenaan mula mendapat perhatian apabila media melaporkan seorang pempengaruh dengan hampir 600,000 pengikut direman bagi membantu siasatan kejadian yang berlaku pada 14 April lalu.
Difahamkan, sebelum insiden itu, mangsa berada di bawah jagaan pengasuh yang juga ibu kepada suspek di kediaman mereka di kawasan Sungai Putat.
Siasatan awal mendapati kanak-kanak terbabit dipercayai termakan gula-gula yang disyaki mengandungi dadah, yang disimpan di dalam peti sejuk rumah berkenaan dan dipercayai milik suspek.
Mangsa kemudiannya dibawa ke hospital untuk rawatan sebelum dibenarkan pulang selepas keadaannya stabil.
Bertindak atas maklumat, polis menahan suspek pada jam 9.30 malam, 15 April lalu. Lelaki itu direman selama tujuh hari sebelum tempoh tahanan dilanjutkan lima hari lagi bagi membantu siasatan lanjut.
Hasil siasatan turut mendapati gula-gula berkenaan dipercayai diperoleh dari negara jiran, namun ujian saringan air kencing ke atas suspek didapati negatif dadah.
Kes kini disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana mendedahkan kanak-kanak kepada bahaya termasuk unsur pengabaian dan kecuaian.










