Di Kala Krisis Global Memuncak, Malaysia Kekal Hubungan Baik Dengan Semua Negara

KUALA LUMPUR: Dalam menghadapi ketegangan geopolitik antarabangsa yang semakin meruncing, Malaysia memilih untuk terus mengamalkan dasar luar yang bebas dan berkecuali demi memastikan kestabilan ekonomi serta kelangsungan bekalan tenaga negara tidak terjejas.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan bahawa pendekatan itu membolehkan Malaysia mengekalkan hubungan dengan pelbagai pihak termasuk kuasa besar dunia, negara-negara Teluk dan Iran, walaupun konflik di Timur Tengah semakin memberi tekanan kepada pasaran global.

Menurut beliau, Malaysia tidak terlibat dalam sebarang tindakan ketenteraan, namun tetap berpegang kepada prinsip kemanusiaan dengan menyuarakan bantahan terhadap sebarang bentuk ketidakadilan, khususnya yang melibatkan orang awam.

Dalam pada itu, beliau mengakui bahawa walaupun ekonomi domestik menunjukkan prestasi yang memberangsangkan termasuk pertumbuhan yang lebih kukuh, peningkatan pelaburan, pengukuhan nilai ringgit serta kadar pengangguran yang rendah risiko daripada ketidaktentuan global masih tidak boleh dipandang ringan.

Katanya, isu utama yang menjadi kebimbangan ketika ini adalah jaminan bekalan barangan asas, khususnya bahan api, selain tekanan kenaikan harga yang boleh memberi kesan langsung kepada rakyat.

Anwar turut mendedahkan bahawa beberapa negara luar kini mula berdepan krisis bekalan bahan api sehingga menjejaskan operasi harian seperti penutupan stesen minyak dan pembatalan penerbangan.

Namun begitu, beliau memberi jaminan bahawa Malaysia masih berada dalam keadaan terkawal setakat ini, sambil mengingatkan semua pihak agar tidak mempolitikkan isu tersebut.

“Ketika berdepan cabaran global, semua pihak perlu bersatu. Ini bukan masa untuk pertikaian politik, sebaliknya fokus harus diberikan kepada usaha melindungi ekonomi dan kepentingan negara,” katanya.

Mengulas mengenai langkah kerajaan, beliau berkata pemantauan berterusan sedang dilakukan terhadap kesan kenaikan harga diesel dan sebarang gangguan bekalan, terutama kepada sektor tertentu.

Kerajaan juga, katanya, memperhebatkan libat urus bersama pihak industri termasuk PKS, syarikat pengangkutan dan institusi kewangan bagi memastikan daya tahan ekonomi negara terus kukuh.

Dalam masa sama, pelaksanaan subsidi bersasar akan diteruskan bagi membantu kumpulan sasar seperti nelayan, petani serta sektor pengangkutan awam.

Menyentuh soal bekalan minyak, Anwar memaklumkan bahawa usaha diplomatik Malaysia termasuk kerjasama dengan Iran telah membantu memastikan kelancaran pergerakan kapal minyak negara melalui Selat Hormuz.

Beliau berkata, sebuah kapal telah selamat tiba di Pengerang, Johor, manakala satu lagi masih dalam perjalanan, walaupun terdapat beberapa penghantaran yang terjejas akibat ketegangan semasa.

Pada masa sama, beliau menafikan dakwaan bahawa Malaysia mengeksport bahan api sehingga menjejaskan keperluan dalam negara, sambil menyifatkan tuduhan tersebut sebagai tidak berasas dan boleh menjejaskan keyakinan awam.

BBerkaitan

Latest articles