Majikan Swasta Digesa Laksana BDR, Kurangkan Beban Kos, Penggunaan Bahan Api

KUALA LUMPUR: Kerajaan menggesa majikan sektor swasta agar mempertimbangkan pelaksanaan amalan Bekerja Dari Rumah (BDR) sebagai langkah proaktif bagi mengurangkan penggunaan bahan api serta mengekang tekanan kos operasi.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pendekatan kerja fleksibel itu bukan sahaja mampu menjimatkan kos, malah berupaya mengekalkan tahap produktiviti dan semangat pekerja.

Menurut beliau, amalan seumpama itu telah pun dilaksanakan dalam sektor awam dan wajar diperluaskan ke sektor swasta selaras dengan perubahan landskap kerja semasa.

“Majikan digalakkan menilai semula kaedah kerja sedia ada dan mempertimbangkan pelaksanaan BDR bagi mengurangkan penggunaan bahan api, di samping membantu meredakan tekanan kos tanpa menjejaskan produktiviti serta moral tenaga kerja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Hasil ke-30 yang berlangsung di Wisma Hasil, hari ini.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong serta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Mengulas lanjut, Fadillah menegaskan sektor swasta tidak boleh lagi bergantung kepada pendekatan tradisional dalam mengurus operasi perniagaan.

Katanya, dunia perniagaan kini menuntut perubahan lebih pantas termasuk peningkatan produktiviti, pelaburan dalam inovasi dan automasi serta usaha memperkukuh nilai tambah dan kelestarian.

“Ini bukan lagi masa untuk beroperasi seperti biasa. Sektor swasta perlu merebut peluang yang hadir daripada agenda reformasi ini,” katanya.

Beliau turut menekankan bahawa kejayaan segala inisiatif tersebut memerlukan komitmen bersama semua pihak, khususnya majikan, untuk melaksanakannya secara bersungguh-sungguh.

Dalam masa sama, beliau menyarankan majikan agar lebih fleksibel dan pragmatik dalam mengurus operasi perniagaan, khususnya dalam mendepani cabaran peningkatan kos yang semakin mendesak.

BBerkaitan

Latest articles