Pempengaruh Ditahan Bantu Siasatan Kes Budak 3 Tahun Positif Ganja

MELAKA: Seorang lelaki yang juga pempengaruh media sosial ditahan bagi membantu siasatan kes seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun yang disahkan positif dadah jenis tetrahydrocannabinol (THC).

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar, memaklumkan suspek berusia 39 tahun itu merupakan anak kepada pengasuh mangsa.

Lelaki berkenaan direman selama tujuh hari bermula 16 April sebelum tempoh tahanan disambung lima hari lagi sehingga 27 April bagi melengkapkan siasatan.

Menurut beliau, kejadian terbongkar selepas seorang pegawai perubatan di Hospital Melaka menerima mangsa dalam keadaan separuh sedar kira-kira jam 5 petang, 14 April lalu.

Ujian saringan air kencing kemudian mendapati kanak-kanak tersebut positif THC.

“Siasatan awal mendapati mangsa sebelum itu diambil ibunya dari rumah pengasuh di Sungai Putat pada 11 April. Kanak-kanak berkenaan kemudiannya menerima rawatan kecemasan termasuk bantuan pernafasan di zon merah Jabatan Kecemasan dan Trauma,” katanya dalam satu kenyataan.

Susulan laporan tersebut, sepasukan anggota daripada Cawangan D11, Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka bertindak menahan suspek pada jam 9.30 malam, 15 April lalu.

Kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana disyaki melibatkan pengabaian atau pendedahan kanak-kanak kepada bahaya.

Semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan ujian saringan air kencing ke atasnya juga negatif.

Sementara itu, mangsa dilaporkan telah pulih sepenuhnya dan dibenarkan pulang ke rumah.

BBerkaitan

Latest articles