Isu Seleweng Dana: MAIWP Jamin Pengurusan Zakat Telus

KUALA LUMPUR: Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menafikan sebarang kaitan dengan siasatan kes penyelewengan dana bantuan yang sedang dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Dalam kenyataan yang dikeluarkan malam tadi, MAIWP menegaskan sokongan penuh terhadap usaha SPRM dalam membanteras salah guna dana kebajikan, sambil menegaskan kepentingan integriti dalam pengurusan dana awam, khususnya zakat.

Menurut agensi itu, pihaknya komited memastikan setiap sen dana zakat diurus secara amanah melalui pemantauan rapi serta audit berkala.

MAIWP turut memberi jaminan kepada para pembayar zakat di Wilayah Persekutuan bahawa sistem pengurusannya sentiasa mematuhi piawaian ketelusan dan akauntabiliti yang tinggi.

“Isu integriti dalam pengurusan dana, terutama melibatkan zakat, tidak boleh dikompromi kerana ia menyentuh kebajikan golongan asnaf,” menurut kenyataan tersebut yang dimuat naik di Facebook rasmi agensi itu.

Tambah MAIWP, rekod cemerlang memperoleh Sijil Bersih Ketua Audit Negara selama 19 tahun berturut-turut menjadi bukti kukuh kepada disiplin pengurusan kewangan serta pematuhan audit yang diamalkan.

Pada masa sama, MAIWP menegaskan tidak akan membiarkan reputasi institusi itu terjejas akibat tindakan pihak luar yang tidak bertanggungjawab.

Terdahulu, SPRM menahan tiga individu termasuk seorang pemimpin kanan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kerana disyaki terlibat dalam penyelewengan dana berjumlah kira-kira RM230 juta bagi tempoh 2018 hingga 2024.

Dalam operasi tersebut, pihak berkuasa turut menyita pelbagai aset mewah termasuk kenderaan, hartanah serta barangan bernilai tinggi.

Bagaimanapun, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, menjelaskan bahawa siasatan mendapati dana yang diselewengkan tidak sepenuhnya berpunca daripada institusi zakat, sebaliknya melibatkan sumbangan daripada pelbagai sumber.

Kes berkenaan masih dalam siasatan lanjut pihak SPRM.

BBerkaitan

Latest articles