KUALA LUMPUR: Dunia penyiaran negara dikejutkan dengan berita pemergian bekas penyampai radio Radio Televisyen Malaysia (RTM), Mariamah Tijo, yang menghembuskan nafas terakhir awal pagi Khamis.
Perkhabaran duka itu disahkan oleh anak Allahyarham, Hatta Othman, menerusi satu hantaran di Facebook miliknya.
Menurut beliau, ibunya meninggal dunia kira-kira jam 5 pagi.
“Ibunda saya, Hajah Mariamah binti Tijo telah kembali ke rahmatullah pada jam 5 pagi ini. Semoga rohnya dicucuri rahmat. Amin,” katanya ringkas.
Allahyarham dikenali sebagai antara suara berpengalaman dalam dunia radio RTM dan telah banyak mencurahkan bakti dalam industri penyiaran tanah air sepanjang kariernya.
Kehilangannya disifatkan sebagai satu kehilangan besar, khususnya buat warga RTM serta rakan-rakan industri yang pernah bekerjasama dengannya.
Sementara itu, pelbagai pihak termasuk media dan rakan industri menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham serta mendoakan agar rohnya ditempatkan dalam kalangan orang beriman.










