KUALA LUMPUR, 21 April — YTL AI Labs hari ini melancarkan ILMU Claw, sebuah platform yang membolehkan pengguna, pembangun dan perusahaan di Malaysia membina ejen kecerdasan buatan (AI) autonomi yang dihoskan sepenuhnya di atas infrastruktur tempatan menerusi YTL AI Cloud yang selamat.
Pelancaran itu hadir ketika perisian berasaskan ejen AI menjadi antara perkembangan teknologi paling menonjol pada 2026, dengan momentum global terus memacu minat terhadap penyelesaian AI yang lebih autonomi dan mudah digunakan.
Menurut YTL AI Labs, peningkatan minat terhadap perisian agentik turut dipacu oleh kemunculan OpenClaw, sebuah projek sumber terbuka yang semakin mendapat perhatian dalam kalangan pembangun mahupun pengguna biasa.
OpenClaw dilihat berjaya merendahkan halangan teknikal dalam pembangunan ejen AI dengan menghapuskan keperluan pengekodan atau persediaan rumit, sekali gus membolehkan pengguna membina ejen AI hanya melalui arahan bahasa semula jadi yang mudah.
Berdasarkan perkembangan itu, ILMU Claw direka untuk berfungsi secara lancar bersama OpenClaw, membolehkan pengguna membangunkan ejen AI autonomi melalui prompt ringkas tanpa perlu menguruskan proses orkestrasi yang kompleks.
Melalui platform itu, pengguna biasa boleh membina ejen AI untuk merancang perjalanan, mengurus e-mel dan menyusun jadual harian, manakala perniagaan pula boleh memanfaatkannya bagi mengendalikan khidmat pelanggan, memperkemas aliran kerja dan mengautomasikan operasi.
View this post on Instagram
ILMU Claw dikuasakan oleh ILMU-Nemo-Nano, yang dibangunkan menerusi kerjasama dengan NVIDIA, bagi menjadikan pembinaan ejen AI lebih mudah diakses tanpa mengabaikan keperluan perusahaan.
Bagi penggunaan perusahaan, susunan rujukan NVIDIA menyediakan tahap keselamatan, privasi dan kawalan dasar yang lebih kukuh untuk menyokong aliran kerja agentik yang lebih terkawal dan berstruktur.
YTL AI Labs berkata, sebelum ini banyak organisasi yang mahu menggunakan keupayaan agentik lebih maju terpaksa menyalurkan aliran kerja dan data sensitif mereka melalui infrastruktur luar negara.
“ILMU Claw mengubah keadaan itu dengan memberi akses kepada pembangun dan perusahaan Malaysia kepada alat agentik bertaraf dunia yang dihoskan di infrastruktur tempatan,” menurut kenyataan itu.
Ketua Pegawai Eksekutif YTL AI Labs, Foong Chee Mun, berkata pihaknya teruja untuk terus menyediakan keupayaan AI bertaraf dunia kepada komuniti pembina tempatan.
“Kami teruja untuk terus memberikan apa yang wajar dinikmati oleh pembina Malaysia — keupayaan AI bertaraf dunia, di tanah air sendiri. ILMU Claw adalah titik permulaan untuk rakyat Malaysia memanfaatkan keupayaan itu dan membina perkara hebat dengan lebih pantas berbanding sebelum ini,” katanya.
Sebagai sebahagian daripada pelancaran itu, YTL AI Labs turut akan menyokong ekosistem pembina tempatan dengan menaja acara OpenClaw KL: Build With OpenClaw yang dijadual berlangsung di Kuala Lumpur pada 24 April 2026.
ILMU Claw menyertai keluarga produk ILMU oleh YTL AI Labs yang turut merangkumi ILMUchat, sebuah AI perbualan yang kini berada dalam beta awam di Apple App Store dan Google Play.
Pelan langganan ILMU Claw kini ditawarkan kepada peminat teknologi, pembangun, syarikat pemula dan perusahaan, dengan 800 tempat duduk disediakan sempena pelancaran awal yang boleh dilayari melalui console.ilmu.ai.










