KUALA LUMPUR, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim hari ini menegaskan kedudukan Malaysia sebagai hab strategik dalam rantaian bekalan global serta industri pertahanan dan aeroangkasa.
Katanya landskap geopolitik global yang tidak menentu, termasuk konflik di Asia Barat, telah memberi kesan besar kepada pasaran dunia, khususnya dari segi harga tenaga dan aliran modal. Namun begitu, Malaysia terus mencatatkan prestasi ekonomi memberangsangkan.
“Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, dana global telah membeli lebih dua bilion dolar bon Malaysia, iaitu aliran masuk tertinggi dalam tempoh sepuluh bulan. Ringgit juga muncul sebagai mata wang terbaik Asia bagi dua tahun berturut-turut, manakala ekonomi negara berkembang 5.2 peratus tahun lalu,” katanya.
Tambahnya , Malaysia turut berjaya menarik pelaburan pada tahap rekod, khususnya dalam sektor pembuatan, semikonduktor dan aeroangkasa, hasil komitmen berterusan kerajaan terhadap reformasi dasar serta penglibatan aktif dengan pelabur antarabangsa katanya ketika berucap merasmikan Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (Defence Services Asia (DSA) 2026) dan NATSEC Asia 2026 di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC) di sini, hari ini.
Menurutnya, keupayaan industri tempatan dalam menghasilkan komponen aeroangkasa berketepatan tinggi dan penyertaan dalam rantaian bekalan global menjadikan Malaysia rakan strategik yang diyakini.
“Malaysia menghasilkan struktur sayap pesawat komersial dan komponen enjin aero berketepatan tinggi yang digunakan di seluruh dunia. Malah, terdapat syarikat tempatan yang mencapai status pembekal Tier 1 kepada pengeluar enjin aero global,” jelasnya.
Beliau turut menggalakkan syarikat pertahanan dan aeroangkasa antarabangsa untuk meneroka peluang kerjasama dengan pengeluar tempatan, memandangkan Malaysia mengamalkan dasar berkecuali aktif yang membolehkan hubungan baik dengan semua rakan global.
Dalam masa sama, Perdana Menteri memberi jaminan bahawa kerajaan akan memastikan perlindungan harta intelek, penguatkuasaan kawalan perdagangan strategik serta kepastian kontrak bagi menyokong ekosistem industri yang berdaya saing.
Mengulas perkembangan teknologi pertahanan, beliau menegaskan bahawa kemajuan pesat dalam bidang seperti kecerdasan buatan, sistem autonomi dan keselamatan siber memerlukan kerangka tadbir urus yang kukuh.
“Persoalan bagaimana teknologi ini digunakan, oleh siapa dan dalam keadaan apa adalah tanggungjawab yang perlu dipimpin oleh kerajaan bersama industri,” katanya.
Beliau turut menyifatkan DSA dan NATSEC Asia 2026 sebagai platform penting untuk membina kerjasama strategik serta membuka ruang perbincangan yang bakal membentuk masa depan industri pertahanan serantau dan global katanya.










