Mahkamah Tinggi Tolak Permohonan Keterangan Secara Dalam Talian Dalam Kes Sivil RM30 Juta Babit Victor Chin

KUALA LUMPUR, Mahkamah Tinggi Malaya di Kuala Lumpur menolak permohonan seorang defendan untuk memberikan keterangan melalui teknologi komunikasi Dalam Talian (Zoom) dalam satu kes sivil bernilai puluhan juta ringgit.

Hakim Leong Wai Hong membuat keputusan tersebut selepas mendapati permohonan yang dikemukakan oleh defendan pertama, Victor Chin atau nama sebenarnya Chin Boon Long, tidak mematuhi keperluan prosedur yang ditetapkan.

Kes berkenaan melibatkan tindakan saman oleh dua plaintif terhadap sembilan defendan, termasuk beberapa individu dan syarikat, dengan tuntutan ganti rugi mencecah lebih RM30 juta. 

Dalam penghakiman bertarikh 16 April 2026, mahkamah memutuskan bahawa permohonan untuk memberi keterangan secara jarak jauh sepatutnya difailkan melalui Notis Permohonan yang disokong afidavit, dan bukannya sekadar surat daripada peguam.

Hakim Leong menegaskan bahawa ketiadaan afidavit bermakna tiada keterangan bersumpah dikemukakan bagi menyokong alasan permohonan tersebut.

“Mahkamah terikat untuk memutuskan bahawa tiada permohonan yang sah di hadapan saya,” katanya dalam alasan penghakiman.

Selain isu prosedur, mahkamah turut meneliti alasan yang dikemukakan oleh defendan pertama, termasuk dakwaan kebimbangan terhadap keselamatan diri sebagai sebab tidak dapat hadir secara fizikal di mahkamah.

Namun, mahkamah mendapati alasan tersebut tidak disokong oleh bukti kukuh.

Hakim menyatakan bahawa dakwaan kebimbangan keselamatan itu hanyalah “dakwaan semata-mata” tanpa sebarang pengesahan daripada pihak berkuasa seperti polis, sama ada di Malaysia atau di negara tempat beliau berada.

Dalam masa sama, mahkamah turut menekankan kepentingan memastikan integriti sistem keadilan tidak terjejas, khususnya dalam situasi yang boleh membuka ruang kepada penyalahgunaan proses mahkamah.

Bagaimanapun, mahkamah berpandangan bahawa dalam kes ini, tiada bukti wujudnya waran tangkap terhadap defendan pertama, justeru isu mengelakkan pendakwaan tidak dapat dibuktikan.

Sehubungan itu, mahkamah memutuskan untuk menolak permohonan tersebut dan mengarahkan defendan pertama membayar kos sebanyak RM10,000 kepada pihak plaintif.

Perbicaraan kes berkenaan, yang telah bermula sejak Julai 2025, kini diteruskan dengan saksi pertama plaintif masih dalam proses pemeriksaan balas.

Kes berkenaan melibatkan saman balas berjumlah RM49.85 juta yang difailkan pada Julai 2023 oleh bekas pengarah anak syarikat kargo milik 80% MMAG Holdings Bhd, iaitu M Jets Sdn Bhd, Gunasekar Mariappan dan Philip Phang terhadap MMAG serta beberapa pihak lain termasuk Victor Chin.

Pertikaian tersebut tercetus selepas kedua-dua individu itu digantung tugas pada Februari 2023 susulan siasatan dan serbuan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di pejabat M Jets sebelum dilucutkan jawatan.

MMAG kemudiannya memfailkan saman terhadap mereka pada April atas dakwaan pelanggaran tanggungjawab fidusiari, menuntut ganti rugi RM23.17 juta.

BBerkaitan

Latest articles