DSA 2026: Malaysia Perkukuh Pertahanan Berasaskan Teknologi Moden

KUALA LUMPUR, Menteri Pertahanan, Mohamed Khaled Nordin, menegaskan bahawa teknologi moden akan menjadi asas utama kepada pembangunan pertahanan dan keselamatan masa hadapan negara, selaras dengan tema Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (Defence Services Asia Exhibition and Conference (DSA)) 2026 yang berlangsung di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC).

Beliau berkata penganjuran DSA kali ini dibuat dalam keadaan geopolitik global yang tidak menentu, namun Malaysia tetap berjaya meneruskan acara tersebut sebagai sebuah negara yang mengamalkan dasar berkecuali.

“Walaupun berdepan cabaran global termasuk isu logistik dan konflik serantau, DSA kekal sebagai platform penting yang menghimpunkan pelbagai negara dan syarikat industri pertahanan,” katanya dalam sidang media sempena DSA 2026.

Menurut beliau, edisi kali ini menyaksikan peningkatan penyertaan delegasi antarabangsa berbanding tahun sebelumnya, dengan negara seperti Turkiye, China, Emiriah Arab Bersatu, Itali, Amerika Syarikat, India dan Republik Korea antara peserta utama.

Dari segi saiz pavilion, China mencatatkan penyertaan terbesar dengan 192 syarikat, diikuti Turkiye (87) dan Amerika Syarikat (83). Selain itu, DSA 2026 turut menyaksikan penyertaan pavilion baharu dari beberapa negara termasuk Finland, Hungary, Jepun dan Rusia.

Dalam masa sama, sebanyak 368 syarikat tempatan turut mengambil bahagian, mencerminkan perkembangan positif industri pertahanan negara.

Khaled berkata antara kelainan DSA tahun ini ialah pengenalan lima segmen baharu, termasuk pavilion Coalition of Defence Industries Malaysia yang menghimpunkan syarikat tempatan bagi mempamerkan keupayaan industri domestik.

“Inisiatif ini selaras dengan dasar industri pertahanan negara yang menetapkan sekurang-kurangnya 30 peratus komponen tempatan dalam perolehan aset pertahanan,” katanya.

Tambah beliau, segmen lain yang diperkenalkan termasuk fokus kepada ancaman CBR&E (kimia, biologi, radiologi dan bahan letupan), kelengkapan taktikal, serta platform inovasi teknologi seperti DNSD NETSEC Asia Lab yang membuka peluang kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

DSA 2026 turut menampilkan forum utama seperti Putrajaya Forum bertemakan “ASEAN Security at the Age of Emerging Technologies” serta UPNM Forum yang memberi tumpuan kepada kecerdasan buatan (AI) dan keselamatan siber.

Selain pameran, acara tersebut turut melibatkan pemeteraian kontrak dan pelaksanaan Program Kolaborasi Industri (ICP), dengan nilai keseluruhan dianggarkan sekitar RM1.4 bilion.

Menurut Khaled, ICP memainkan peranan penting dalam pemindahan teknologi serta pembangunan keupayaan tempatan, termasuk dalam aspek penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) aset ketenteraan seperti kapal tentera laut.

“Melalui ICP, kita bukan sahaja meningkatkan keupayaan penyelenggaraan, malah membuka peluang kepada industri tempatan untuk membangunkan komponen dan aset pertahanan sendiri,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa DSA bukan sekadar platform pameran, tetapi juga medan penting untuk diplomasi pertahanan, perkongsian kepakaran serta pengukuhan hubungan antara negara.

“Selain melihat teknologi terkini, DSA membuka ruang kepada pertemuan strategik antara pegawai pertahanan dan wakil negara untuk berkongsi pandangan mengenai cabaran keselamatan global,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles