KUALA LUMPUR, 18 April — Seorang bekas pemimpin pelajar tampil menolak naratif baharu yang mengaitkan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) sebagai punca rasuah, sambil menyifatkan dakwaan itu sebagai tidak masuk akal dan bersifat retorik tanpa asas fakta.
Dalam satu kenyataan, bekas Timbalan Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Sarfarizmal Saad berkata, cadangan untuk memansuhkan akta tersebut hanya berdasarkan beberapa kes terpencil dan merupakan pendekatan yang lemah, serta tidak mencerminkan pemikiran reformasi yang matang.
“Menjadikan AUKU sebagai punca rasuah adalah hujah yang tidak berasas. Ini bukan reformasi, tetapi sekadar retorik tanpa sandaran fakta,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau menjelaskan bahawa peruntukan di bawah Seksyen 4 dan 4A AUKU berfungsi untuk menetapkan struktur tadbir urus universiti, bukannya alat kronisme seperti didakwa oleh sesetengah pihak.
“Tanpa struktur ini, universiti berisiko menjadi medan politik terbuka tanpa kawalan, yang akhirnya boleh menjejaskan kestabilan institusi pendidikan tinggi,” ujarnya.
Beliau turut menyangkal dakwaan bahawa Seksyen 11(4) memberikan kuasa mutlak kepada menteri, dengan menegaskan bahawa sistem pentadbiran negara mempunyai mekanisme semak dan imbang, termasuk audit serta pemantauan oleh Parlimen Malaysia dan laporan daripada Jabatan Audit Negara Malaysia.
“Jika berlaku salah guna kuasa, ia adalah kegagalan individu, bukan kelemahan undang-undang itu sendiri,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menyifatkan tuduhan bahawa AUKU “menghalalkan rasuah” sebagai tidak berasas sama sekali, memandangkan isu rasuah terletak di bawah akta dan bidang kuasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Tiada satu pun klausa dalam AUKU yang membenarkan rasuah. Mengaitkan kedua-dua perkara ini hanya menunjukkan kekeliruan atau agenda tertentu,” katanya lagi.
Sarfarizmal turut menegaskan bahawa isu berkaitan tender, perolehan dan pelantikan adalah masalah pengurusan yang boleh diperbaiki tanpa perlu memansuhkan keseluruhan akta.
“Ia seperti bumbung yang rosak, maka baikilah bumbung tersebut, bukan meruntuhkan seluruh rumah,” katanya.
Mengulas dakwaan bahawa AUKU menindas mahasiswa, beliau berkata hak bersuara pelajar telah dilonggarkan melalui beberapa pindaan, sekali gus memberikan ruang lebih luas kepada mahasiswa untuk terlibat dalam wacana awam.
“Mahasiswa hari ini jauh lebih bebas dan vokal berbanding 15 atau 20 tahun lalu. Naratif bahawa mereka masih dikongkong sudah tidak relevan dan ketinggalan zaman,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa cadangan memansuhkan AUKU tanpa pelan alternatif yang jelas hanya merupakan idea populis yang tidak praktikal.
“Jika benar mahu memerangi rasuah, tumpuan seharusnya diberikan kepada penguatkuasaan, integriti dan sistem audit, bukannya menjadikan AUKU sebagai kambing hitam,” katanya.










